KUALA LUMPUR: “Bayangkan ketika kami sedang solat, tentera Zionis mencaci maki, memasang muzik sekuat-kuatnya, melempar batu malah turut ada yang meludah ke arah kami yang sedang bersujud kepada Allah.”
Demikian antara luahan satu-satunya peserta dari Palestin, Motaz Hefzi Yasin Abusnaina, 33, yang menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2024 di ibu negara malam semalam.
Kata pemuda itu, konflik yang berlarutan sejak Oktober tahun lalu bukan sahaja memusnahkan harta-benda rakyat Palestin malah menyeksa kehidupan mereka secara fizikal dan mental.
“Ibadah kami di masjid bukan sahaja dicemari dengan penghinaan malah turut diganggu dengan serangan. Lebih menyedihkan, kami terpaksa berhadapan dengan roket dan peluru berpandu yang menjunam di kawasan perumahan terutama di sekitar Gaza.
“Kami mendengar bunyi letupan setiap hari. Kadang-kadang, roket jatuh berhampiran rumah kami. Semua ini menambahkan derita jiwa kami yang sudah lama tertekan dan terpaksa hidup dalam ketakutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau yang juga Imam dan Khatib di salah sebuah masjid terbesar di Palestin tidak pernah menyangka perjalanan sejauh 7,687 kilometer ke Malaysia akan menjadi salah satu cabaran terbesar dalam hidupnya.
Motaz berkata, perjalanan yang memakan masa tiga hari itu dipenuhi dengan pelbagai dugaan namun harapan untuk membawa suara Palestin ke persada dunia tidak mematahkan semangatnya.
“Sebelum tiba ke destinasi di Malaysia, saya terpaksa melalui sekatan tentera Zionis iaitu ketika dalam perjalanan dari Khalil al-Rahman ke Jordan. Setiap masa diperhatikan malah proses untuk ke sini turut dilengah-lengahkan.
“Selain itu, saya juga perlu menaiki kereta melintasi jambatan Israel yang dikawal ketat sebelum mengambil penerbangan dari Jordan ke Doha, Qatar dan akhirnya saya sangat bersyukur kerana sampai juga ke Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Motaz turut berkongsi mesej yang disampaikan melalui bacaan Surah Ash-Shu’ara yang menceritakan tentang Nabi Musa diberikan mukjizat untuk membelah laut demi menyelamatkan kaumnya daripada kezaliman Firaun.
Jelasnya, kisah itu membawa pengajaran kepada umat Islam bahawa Allah sentiasa membuka jalan keluar bagi mereka yang sabar dan beriman meskipun dalam keadaan yang paling mustahil.
“Di akhirat kelak, bukan harta, anak-anak mahupun kemegahan duniawi yang akan menyelamatkan seseorang tetapi hati yang suci dan bersih daripada hasad dengki dan penyakit rohani.
“Mereka yang berjaya di akhirat adalah mereka yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera dan bersih daripada sifat-sifat tercela. Ini adalah kunci kepada kejayaan yang hakiki,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa berdiri teguh memberikan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air tercinta mereka.
Harapannya agar sokongan dan solidariti yang ditunjukkan kekal berterusan sekali gus membuka mata dunia supaya terus memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin.
“Penyertaan saya dalam MTHQA bukan sekadar untuk bersaing tetapi untuk membawa mesej kekuatan dan ketabahan rakyat Palestin. Saya mahu dunia tahu bahawa kami tidak akan tunduk kepada kezaliman.
“Kami akan terus berjuang, bukan sahaja di medan peperangan tetapi juga dalam setiap sudut kehidupan kami. Percayalah, Palestin akan terus berdiri teguh meskipun berdepan pelbagai cabaran,” ujarnya. – UTUSAN










