Tenaga pengajar madrasah didakwa cederakan kanak-kanak

Tenaga pengajar madrasah didakwa cederakan kanak-kanak

MUHAMMAD Aqeil Faizal (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak lelaki pada 26 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang tenaga pengajar sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki.

Tertuduh, Muhammad Aqeil Faizal, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 26 Ogos lalu di sebuah premis di Bandar Tasik Senangin, Lenggeng di sini, didakwa mendatangkan kecederaan fizikal menggunakan rotan anak panah pada tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang di bawah pemeliharaannya.

Oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Balkis memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan kerana dia baru menamatkan pengajian dan baru sebulan bekerja selain ketika ini hanya bapanya yang bekerja dan perlu menanggung empat adiknya yang lain.

Surita membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Hakim turut menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN