Sultan Nazrin perkenan pesta sukan air ditangguh - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin perkenan pesta sukan air ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berhubung keputusan untuk menunda penganjuran Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 yang dijadualkan pada 26 dan 27 Oktober ini ekoran ketidaktentuan cuaca.

Sekretariat Pesta Sukan Air memaklumkan keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan dan baginda memahami kekecewaan seluruh rakyat khususnya peserta dan pengunjung yang telah lama menantikan penganjuran tersebut.

“Keputusan ini diambil setelah mempertimbangkan situasi semasa di negeri Perak khususnya keadan banjir, hujan lebat yang melanda di beberapa kawasan menyebabkan peningkatan paras air sungai di negeri Perak.

“Maka adalah tidak sesuai bagi kita untuk berpesta ria ketika masyarakat sedang mengharungi saat-saat sukar,” kata sekretariat itu hari ini.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Perak, Datuk Nor Sham Rahman berkata, pesta itu yang bersempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin tahun 2024 dipinda ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Mengulas lanjut, Sekretariat Pesta Sukan Air berkata, pihak penganjur memahami kekecewaan terutama peserta yang membuat latihan serta pengunjung yang membuat persiapan pulang ke kampung halaman termasuk mengambil cuti semata-mata mahu menghadiri anjuran tersebut.

“Pihak penganjur ingin menegaskan serta memberi jaminan kepada seluruh rakyat bahawa Pesta Sukan Air Kuala Kangsar 2024 bukanlah dibatalkan sepenuhnya. Sebaliknya, pesta ini hanya ditangguh ke suatu tarikh yang lebih sesuai,” ujar sekretariat.

Beberapa kawasan di Perak terutama berdekatan sungai utama termasuk Kuala Kangsar dilanda banjir dan kenaikan paras air berikutan hujan lebat yang berterusan mengakibatkan lebih 400 mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan dalam masa terdekat ini, pihak TNB bakal menurunkan lagi paras air di semua empangan melalui mesin penjanaan dan sistem alur limpah mereka.

Jelasnya, tujuan utama paras air ini diturun untuk memastikan empangan bersedia menerima jumlah taburan hujan yang lebih besar pada musim hujan di penghujung tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN