Rosmah hadir beri sokongan kepada Najib

Rosmah hadir beri sokongan kepada Najib

Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti perkembangan keputusan kes Datuk Seri Najib Abdul Razak atas dakwaan memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Perdana Menteri keenam, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.33 pagi, hari ini.

Ketibaan beliau diiringi petugas keselamatan dan penyokong suaminya sambil mengharapkan keputusan terbaik untuk Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Sebelum ini, anak mereka Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar Najib turut hadir bagi mendapatkan keputusan berkaitan kes hari ini.

Sementara itu, Rosmah juga berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan kerana gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, beliau didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Untuk makluman, Mahkamah Tinggi hari ini akan memutuskan sama ada Najib dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan itu pada 9 pagi.

Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas Gabenor Bank Negara,Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas Peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM, Supt. Kanan Nur Aida Ariffin.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya