Ringgit masih di bawah nilai sebenar

Ringgit masih di bawah nilai sebenar

ANWAR Ibrahim melawat pameran pada Seminar 100 Tahun Za'ba Pemikir Kemiskinan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit belum mencapai nilai saksama walaupun mencatatkan peningkatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun mata wang Malay­sia muncul sebagai mata wang ber­prestasi terbaik di Asia Tenggara, ia masih berada di bawah nilai sebenar iaitu RM4.10 berban­ding dolar AS.

“Orang ramai tahu ringgit pernah berada pada kadar RM3.80 tetapi lebih baik ia mengukuh secara berperingkat tanpa campur tangan.

“Biarkan kuasa pasaran menentukannya. Ia akan mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan dan cara kami melaksanakan pembaharuan,” katanya dalam sesi temu bual bersama saluran berita perniagaan dari AS, CNBC.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada isu inflasi dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentang pada 18 Oktober ini.

“Walaupun harga barangan seperti minyak masak, petrol dan tepung lebih murah di Malaysia berbanding negara serantau, wujud keperluan untuk memberi tumpuan dalam menaikkan tahap pendapatan rakyat.

“Tahap pendapatan tidak naik walaupun produktiviti atau pelaburan meningkat. Kami perlu memberi tumpuan kepada isu ini. Inilah yang saya laksanakan dalam perkhidmatan awam. Kami menaikkan gaji penjawat awam, yang tidak diberi perhatian sejak 12 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada Seminar 100 Tahun Za’ba Pemikir Kemiskinan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, Pe­rak, semalam, Perdana Menteri menggesa bekas pemimpin negara yang ‘mencuri’ duit negara dan menyimpannya di luar negara agar memulangkan semula wang itu.

Katanya, jika benar mereka mahu memperjuangkan nasib orang Melayu dan membasmi kemiskinan, langkah itu sepatutnya dilakukan.

“Kalau betul mahu terus membela nasib Melayu, berapa harta kamu sekarang? RM1 bi­lion, RM2 bilion. Di mana di­simpan? di England, di Eropah, berapa bilion, RM5 bilion?

“Ada baiknya sebagai seorang pejuang tulen, serahkan balik wang yang kamu curi dan beri kepada rakyat dan negara.” katanya.

Program berkenaan bertujuan mengangkat jasa Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad sebagai pemikir kritis dan keupayaan unik beliau menganalisis peradaban orang Melayu dalam semua aspek termasuk konsep kemiskinan merentas zaman.

Anwar berkata, pernah ber­jasa kepada negara bukan alasan untuk bekas pemimpin yang mencuri wang negara tidak boleh diambil tindakan undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×