Pulau Pinang: 15 calon sah bertanding untuk pemilihan Bersatu

Pulau Pinang: 15 calon sah bertanding untuk pemilihan Bersatu

MAZHAR Zolbahar menunjukkan senarai layak bertanding untuk calon Bersatu dari Pulau Pinang pada sidang akhbar di Batu Kawan, Pulau Pinang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Tiga ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah antara 15 calon yang akan bertanding merebut jawatan di peringkat pusat pada pemilihan parti itu untuk sesi 2024-2027.

Mereka ialah ADUN Penanti yang juga Ketua Bahagian Permatang Pauh, Zulkefli Bakar; ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang dari Tasek Gelugor dan ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Ariff Shah.

Zulkefli dan Azmi akan bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) manakala Izhar Shah pula menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Ketua Armada Bersatu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti negeri, Mazhar Zolbahar berkata, Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti itu.

AZISS Zainal Abidin (kiri) menawarkan diri bertanding untuk jawatan Naib Presiden Bersatu pada sesi pemilihan parti itu bagi sesi 2024-2027.

Katanya, tiga lagi ketua bahagian yang turut bertanding untuk merebut jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu ialah Azahari Aris dari Bayan Baru; Rasman Farish Shamsuddin (Bukit Gelugor) dan bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak (Kepala Batas).

“Sementara itu, calon yang bakal bertanding bagi merebut jawatan sebagai ahli jawatankuasa Armada pula ialah Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dan Ketua Penerangan Armada negeri, Muhammad Ashraf Hayub Khan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mazhar berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 391 borang pencalonan bagi semua kategori telah diterima pada sesi pemilihan kali ini. Bagaimanapun, ujar beliau, hanya 323 pencalonan sahaja disahkan layak untuk bertanding.

“Turut bertanding ialah empat ketua srikandi negeri ini yang bakal berentap bagi merebut jawatan sebagai ahli jawatankuasa srikandi manakala seorang calon lagi akan merebut jawatankuasa srikandi muda,” katanya.

Dalam pada itu, Mazhar turut mengumumkan bahawa tujuh ketua bahagian Bersatu iaitu Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Nibong Tebal, Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru menang tanpa bertanding.

“Justeru, sesi pemilihan bahagian pada 2 November nanti akan menyaksikan pertandingan membabitkan Balik Pulau, Kepala Batas dan Bagan sahaja. Selain itu juga, tiga daripada 13 bahagian telah digantung iaitu Bukit Mertajam, Bukit Bendera dan Tanjong ekoran tidak menepati syarat pemilihan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Jawatankuasa Pemilihan Parti Bersatu telah menerima sejumlah 8,531 borang pencalonan daripada ahlinya di seluruh negara bagi menentusahkan kelayakan serta keabsahan untuk mengambil bahagian pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad dengan memaklumkan bahawa, seramai 93 calon bertanding bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39) dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN