PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kenaikan kadar gaji minimum oleh kerajaan melalui Belanjawan 2025 merupakan satu tindakan yang prihatin terhadap rakyat.
Presidennya, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja di seluruh negara terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.
“Kenaikan gaji minimum ini adalah langkah penting yang mampu meringankan beban kos sara hidup, yang semakin meningkat akibat inflasi dan tekanan ekonomi global.
“Ini juga selaras dengan hasrat negara untuk memajukan ekonomi yang lebih adil dan memastikan tiada golongan pekerja tertinggal dalam pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.
Kerajaan juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja seperti gaji permulaan juruteknik industri dan pengeluaran (RM2,290), jurutera mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985).
Selain itu, Effendy turut menegaskan, langkah itu perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang tegas.
“Majikan mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baru ini, tanpa sebarang percubaan untuk mengelak atau mengeksploitasi pekerja.
“Penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlu diperkukuhkan untuk memastikan hak pekerja dilindungi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MTUC percaya bahawa kenaikan gaji minimum bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi.
“Peningkatan gaji secara tidak langsung akan meningkatkan kuasa beli rakyat dan akan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
“Memandangkan perbelanjaan domestik yang lebih tinggi akan merancakkan perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, MTUC turut menggesa majikan-majikan besar yang mempunyai kemampuan kewangan menawarkan gaji yang lebih tinggi daripada kadar gaji minimum yang ditetapkan.
“Kami amat berharap dan mengalu-alukan tindakan majikan yang sedia memberikan gaji yang lebih tinggi sebagai satu langkah proaktif dalam menghargai sumbangan pekerja serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja,” katanya. – UTUSAN