PETALING JAYA: Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan perkhidmatan sedang mengancam pekerja sektor perbankan apabila teknologi tersebut semakin terbukti boleh menggantikan pekerja di bank-bank.
Sebagai contoh, chatbot yang menggunakan AI kini digunakan secara meluas dalam perkhidmatan pelanggan di bank-bank.
Selain itu, tugas-tugas seperti pengesahan transaksi, pemprosesan pinjaman dan khidmat nasihat kewangan yang sebelum ini dilakukan manusia, kini boleh diuruskan sepenuhnya oleh AI tanpa memerlukan campur tangan pekerja.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, perkembangan teknologi AI memang membimbangkan apabila keupayaannya semakin meninggal kemampuan manusia.
Menurut beliau, dalam masa terdekat diramalkan pasaran pekerjaan tempatan, khususnya dalam sektor perbankan yang terkesan terlebih dahulu sebelum diikuti oleh sektor lain seperti perkilangan, logistik dan peruncitan juga yang berhadapan dengan transformasi teknologi yang sama.
“Teknologi berkembang dengan pantas, dan walaupun kita tidak dapat menghalang perkembangan ini, kita mesti bersedia menghadapi kesannya.
“Sektor perbankan, misalnya, sedang menuju ke arah automasi yang lebih besar di mana sistem AI akan menggantikan peranan manusia dalam pelbagai tugas,” katanya.
Kata beliau, menerusi automasi tersebut banyak kerja-kerja yang dilakukan secara manual oleh manusia seperti khidmat pelanggan, pengurusan data, dan tugasan-tugasan rutin lain berisiko tinggi digantikan oleh AI.
Malah kata beliau, majikan sektor pembankan semakin selesa dengan AI kerana dalam jangka masa panjang boleh menjimatkan kos dan birokrasi melibatkan tabiat manusia.
“Sebagai contoh, chatbot yang menggunakan AI kini digunakan secara meluas dalam perkhidmatan pelanggan.
“Tugas-tugas seperti pengesahan transaksi, pemprosesan pinjaman, dan khidmat nasihat kewangan yang sebelum ini dilakukan oleh manusia, kini boleh diuruskan sepenuhnya oleh AI tanpa memerlukan campur tangan pekerja,” jelasnya.
Oleh itu, kata beliau, walaupun automasi dapat menjimatkan kos operasi syarikat dengan mengurangkan keperluan tenaga kerja, ia akan memberi impak besar kepada kadar pengangguran, khususnya di kalangan pekerja yang tidak mempunyai kemahiran digital tinggi.
“Kita melihat trend yang mengutamakan kecerdasan buatan sebagai langkah penjimatan kos syarikat.
“Ini membimbangkan kerana ia bakal memberi impak kepada pekerja dalam sektor tradisional yang tidak mempunyai kemahiran teknologi, terutamanya golongan pekerja pertengahan dan rendah,” katanya.
MTUC menggesa pihak kerajaan untuk memantau situasi ini dengan lebih dekat dan memastikan program sokongan serta perlindungan sosial bagi pekerja yang terkesan dapat dilaksanakan dengan segera.
Beliau juga turut menekankan perlunya usaha untuk mempersiapkan pekerja dengan kemahiran digital dan pengetahuan teknologi yang relevan bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dikuasai oleh AI.
“Teknologi tidak dapat dihalang, tetapi kita perlu pastikan pekerja Malaysia tidak ketinggalan,” tegasnya.
Ketika ini, jumlah pekerja di sektor diperbankan seramai 15,000 pekerja di bawah Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE).
Sementara itu, Presiden NUBE, Michael Tan Eng Hong berkata, bahawa kemajuan teknologi seperti AI tidak dapat dihalang sebaliknya menyarankan agar pekerja di negara ini segera mempertingkatkan kemahiran mereka agar relevan dengan keperluan pasaran kerja yang semakin berubah.
“Kita tidak boleh menolak perkembangan teknologi kerana ia adalah sebahagian daripada kemajuan dunia.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah memberi tumpuan kepada ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ para pekerja agar mereka mampu bersaing dalam suasana kerja yang semakin dipengaruhi oleh teknologi,” jelasnya. – UTUSAN










