Peguam akui polis beri layanan baik kepada tahanan GISBH

Peguam akui polis beri layanan baik kepada tahanan GISBH

PENGIKUT GISBH yang ditahan polis mengakui mereka mendapat layanan baik ketika di dalam lokap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas tahanan Glo­bal Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang direman lebih 20 hari sejak 19 September lalu mendakwa mendapat layanan baik daripada polis ketika berada di dalam lokap.

Perkara itu didedahkan salah seorang peguam yang mewakili mereka, Dorina Abdullah yang memberitahu, tiada kekerasan atau sebarang paksaan dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas tahanan sepanjang siasatan dilakukan.

Katanya, malah tahanan juga dikatakan boleh menunaikan solat secara berjemaah serta menjaga bayi bagi mereka yang mempunyai anak masih kecil.

“Memang tahanan dilayan dengan baik, hal itu diakui, cuma keadan tidak selesa dan tempoh tahanan yang lama. Bagaimanapun, anak guam tidak membuat aduan terhadap sebarang masalah dengan polis.

“Malah, tiada tahanan yang dipaksa membuat pengakuan atau tandatangan sebarang dokumen. Semua itu tidak berlaku.

“Tetapi, ada seorang pembantu peribadi kepada Datuk Nasiruddin (Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali) disukai polis kerana sering membantu memudahkan urusan. Jadi, dia pun dilayan de­ngan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan siasatan polis terhadap GISBH dilakukan secara terperinci mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan laporan dan maklumat diterima selain risikan yang dilakukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, polis menjalankan siasatan secara berhati-hati, telus dan menyeluruh melibatkan undang-undang seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) dan akta-akta lain.

Bagaimanapun, ketua pasukan peguam bela GISBH, Rosli Kamaruddin memohon siasatan di bawah akta keselamatan tidak dilakukan kerana operasi syarikat tersebut fokus kepada perniagaan serta tidak terlibat dalam aktiviti jenayah terancang dan pengganas yang mengancam rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Dorina memberitahu barisan peguam bela turut menasihatkan kepada mereka yang masih direman dan termasuk ditahan di bawah SOSMA supaya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Jangan ada masalah dengan pihak berkuasa. Malah, perkara sama turut dipesan oleh Datuk Nasiruddin kepada semua. Kerana percaya semua siasatan boleh dilakukan secara aman dan diselesaikan dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN