Pas perlu lebih ikhlas jika mahu hidupkan MN

Pas perlu lebih ikhlas jika mahu hidupkan MN

OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas perlu lebih ikhlas sekiranya mahu menghidupkan kembali kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa berkata, ini kerana bukan UMNO yang menggagalkan penyatuan antara Pas dan parti itu sebelum ini.

“Soal penyatuan Pas dan UMNO, bukan UMNO yang gagalkan. Tetapi ada agenda dan niat-niat tertentu yang menggagalkan kepentingan ini, fikirlah sendiri.

“Kalau hendak bersatu de­ngan UMNO kena ikhlas dan hormat UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai peraturan. Maksudnya, (jika) mahu ambil UMNO (tetapi) mahu buang pemimpin (atasan), itu orang tidak faham politik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, akhbar ini mela­porkan, Pas yakin kerjasama Pas dan UMNO menerusi MN akan kembali hidup pada masa akan datang kerana perpaduan itu sangat diharapkan daripada akar umbi kedua-dua parti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bagaimanapun berkata, kerjasama itu dilihat agak sukar direalisasikan pada masa ini dengan kepemimpinan UMNO yang ada sekarang.

Menurutnya, Pas tidak pernah menganggap UMNO sebagai musuh dengan pintu kerjasama sentiasa terbuka.

Mengulas lanjut, Othman berkata, UMNO sedia bekerjasama dengan mana-mana parti demi kebaikan rakyat dan negara.

Atas sebab itu, katanya, UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Memang UMNO sebelum ini ‘No Anwar, No DAP’, tetapi ke­rana rakyat dan negara, UMNO boleh bekerjasama. Ini apatah lagi Pas apa semua yang lebih kurang sama (dengan perjua­ngan UMNO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN