Pas bukan lagi parti ‘pak lebai’

Pas bukan lagi parti ‘pak lebai’

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas bukan lagi dilihat sebagai parti ‘pak lebai’ sebaliknya turut menjadi pilihan golongan teknokrat, profesional termasuk ahli akademik yang menjadikannya sebagai wadah perjua­ngan mereka.

Ini terbukti apabila Pas kini sudah mempunyai banyak pilihan dalam menampilkan calon kalangan profesional pada pilihan raya yang bukan hanya ha­nya tertumpu kepada golongan ulama semata-mata.

Malah, jika dahulu orang Melayu Islam menjadikan UMNO tempat bergantung, trend tersebut sudah berubah dengan Pas lebih menjadi pilihan utama mereka termasuk menjadi parti yang menguasai jumlah kerusi antara tertinggi di Parlimen iaitu 43 sekali gus mencatatkan bilangan tertinggi dalam sejarah 72 tahun penubuhan Pas.

Di peringkat negeri, Pas bersama sekutu mereka Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN) menguasai empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan empat negeri tersebut ditadbir Menteri Besar daripada parti Islam itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, beliau yang berada di dalam Pas sejak 1960-an melihat bagaimana Pas mula berkembang dan terus bergerak ke hadapan.

Katanya, jika dahulu, ahli Pas ini hanya terdiri daripada orang kampung, pondok dengan tidak ada pegawai-pegawai tinggi atau profesional berani menyertai parti itu.

“Kita lihat Pas terus berkembang dan sekarang kalau kita lihat di Kedah contohnya ada calon atau wakil rakyat dalam kalangan peguam, ahli akademik, doktor dan sebagainya. Semua jadikan Pas sebagai platform politik mereka.

“Jika dahulu kita tidak akan jumpa doktor contohnya mahu menyertai Pas, sekarang cukup banyak.

“Pas sekarang juga sudah menjadi parti tunjang orang Melayu Islam yang dahulunya mereka bergantung kepada UMNO,” katanya.

Selain cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas juga mencetuskan gelombang dalam Pilihan Raya Ne­geri (PRN) membabitkan enam negeri tahun lalu apabila merekodkan kemenangan di 105 daripada keseluruhan 126 kerusi ditandingi mereka.

Peratusan kemenangan Pas di dalam PRN itu yang mendominasi sebahagian besar kemenangan PN khususnya di Kedah, Terengganu dan Kelantan mencecah sehingga 82.7 peratus.

Sementara itu, Hashim yakin gelombang hijau akan berterusan sehingga PRU16 di mana sokongan khususnya Melayu Islam dijangka masih memihak kepada parti itu.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan pemimpin di negeri-negeri yang ditadbir parti itu agar tidak terlalu selesa sebaliknya terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita juga yakin untuk menawan beberapa negeri lagi yang dilihat berpotensi seperti Perak, Pahang dan Selangor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN