PETALING JAYA: Cadangan pemansuhan subsidi pendidikan kepada golongan kaya di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dapat menjamin masa depan kumpulan B40 dan M40 selain menikmati manfaat lebih adil.
Menyatakan sokongannya terhadap cadangan itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya melihat langkah itu sebagai inisiatif bertepatan dengan konsep keadilan sosial dan tanggungjawab moral yang diperjuangkan oleh kerajaan selama ini.
Katanya, walaupun cadangan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet namun, GPMS berpendapat subsidi pendidikan tinggi juga perlu dirasionalisasikan supaya dapat dimanfaatkan golongan memerlukan.
“GPMS berpendapat bahawa subsidi pendidikan tinggi yang diberikan secara menyeluruh selama ini perlu disasarkan dengan lebih baik agar anak-anak daripada golongan B40 dan sebahagian M40 dapat menikmati manfaat yang lebih adil.
“Kami juga menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah terus menerima manfaat yang sewajarnya, sementara golongan T20 perlu lebih bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Danial berkata, sekiranya cadangan penghentian subsidi kepada anak golongan kaya itu dapat dilaksanakan, peruntukan subsidi yang dijimatkan boleh diagihkan dengan lebih fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, terutamanya dari kalangan mahasiswa keluarga B40.
Katanya, ia akan memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah yang sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian mereka.
“Pengagihan semula subsidi ini juga boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, biasiswa, dan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak.
“Dengan cara ini, mahasiswa B40 akan lebih berpeluang untuk menamatkan pengajian tanpa beban kewangan yang berat, seterusnya meningkatkan mobiliti sosial dan kualiti hidup mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, pendekatan itu juga dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam penggunaan dana awam dan memberi ruang kepada kerajaan menyusun semula perbelanjaan pendidikan dengan lebih efisien dan menyasarkan sumber kepada golongan yang paling memerlukan.
“Golongan kaya yang mempunyai kemampuan kewangan lebih tinggi tidak lagi bergantung kepada subsidi yang seharusnya diutamakan kepada mereka yang berpendapatan rendah.
“Prinsip ini juga akan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial dan kepentingan memberi laluan kepada golongan rentan dalam mendapatkan hak pendidikan,” katanya. – UTUSAN










