UTUSAN

Makanan sihat mahal

Kenaikan harga makanan sihat menyebabkan pengguna beralih kepada makanan segera dan kurang berkhasihat yang harganya lebih murah.. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan harga makanan sihat di negara ini hampir empat peratus dalam tempoh empat tahun merupakan antara faktor rakyat memilih makanan segera dan kurang berkhasiat yang lebih murah sekali gus menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menurut Hab Data Makanan Untuk Nutrisi dikeluarkan Kumpulan Bank Dunia, statistik menunjukkan berlaku peningkatan kos makanan sihat sejak tahun 2017 hingga 2020 iaitu antara 3.22 dan 3.52 peratus.

Selain itu, data sama juga menunjukkan peratusan populasi rakyat yang tidak mampu membeli makanan sihat berada dalam lingkungan 1.90 dan 2.60 peratus sekali gus memperlihatkan harga mempengaruhi mereka untuk memilih produk kurang berkhasiat.

Malah Laporan Trend Makanan dan Barang Runcit Grab Malaysia 2023 menunjukkan makanan segera seperti ayam goreng, burger dan minuman manis menjadi pilihan utama tempahan dan carian pengguna aplikasi tersebut dalam kalangan pengguna.

Sebagai perbandingan, semakan di aplikasi Price Catcher mendapati harga mi segera dalam lingkungan harga RM4.20 dan RM5.79 bagi setiap pek berbanding sayur-sayuran seperti kubis, lobak merah dan bayam yang boleh mencecah sehingga RM11.50 setiap kilogram.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, makanan sihat bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan yang perlu dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat.

Katanya, dengan akses lebih mudah kepada makanan sihat, masyarakat dapat mengamalkan pemakanan yang seimbang dan meningkatkan taraf kesihatan secara menyeluruh.

“FOMCA menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar obesiti dan penyakit berkaitan gaya hidup termasuk usaha ke arah pengenalan Cukai Makanan Tidak Sihat atau Fat Food Tax.

“Namun pelaksanaan cukai ini harus disertai dengan strategi yang komprehensif agar kesihatan masyarakat dapat ditingkatkan secara menyeluruh. Langkah ini perlu merangkumi pendidikan mengenai pilihan pemakanan sihat serta akses yang lebih mudah dan murah kepada makanan sihat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 meletakkan rakyat Malaysia kini hidup di tengah-tengah krisis NCD apabila menunjukkan 2.3 juta rakyat dewasa berhadapan masalah itu berbanding 1.7 juta seperti pernah direkodkan pada 2019.

Perkara itu menyebabkan kos perubatan di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 12.6 peratus berbanding purata 5.6 peratus inflasi global pada tahun lalu yang didorong oleh pertambahan 600,000 rakyat dewasa yang menghidap NCD dalam tempoh empat tahun sejak 2019.

Justeru itu, Saravanan berkata, FOMCA mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan rebat atau insentif kepada makanan sihat untuk menggalakkan pengguna memilih makanan yang lebih sihat.

Katanya, rebat berkenaan bakal menjadikan harga makanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan produk bijirin penuh lebih murah serta mudah didapati oleh semua golongan masyarakat terutamanya mereka berpendapatan rendah.

“Ini adalah langkah yang penting untuk memastikan akses kepada makanan sihat bukanlah satu kemewahan, tetapi satu keperluan yang mampu dinikmati oleh semua.

“Rebat dapat mendorong pengguna untuk beralih kepada pilihan makanan yang lebih sihat, seterusnya membantu menurunkan kadar obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, akses makanan sihat perlu diperkenalkan bagi memastikan semua golongan masyarakat tanpa mengira tahap pendapatan dapat menikmati sumber tenaga berkhasiat pada harga berpatutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×