Lima dekad guna jalan rosak, berlumpur

Lima dekad guna jalan rosak, berlumpur

KEADAAN jalan yang berdebu menyukarkan urusan harian penduduk orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temiar di Pos Pasik di sini, mendakwa lebih lima dekad berdepan masalah laluan masuk ke penempatan mereka yang sering rosak, berdebu dan berlumpur.

Dakwa mereka, setiap kali hujan lebat, penduduk berdepan dengan risiko tanah runtuh sekali gus menyulitkan kehidupan mereka untuk keluar dan masuk ke bandar termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Pengerusi Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Jimi Arifin yang mewakili penduduk, berharap kerajaan dapat menaik taraf jalan perhubungan itu secepat mungkin.

“Setiap kali tiba musim tengkujuh, kami terpaksa berhadapan dengan jalan yang rosak, berlubang dan berlumpur sehingga menyukarkan untuk kami keluar dari pos ini.

“Jarak yang perlu dinaik taraf sekitar 25 kilometer (km) bermula dari Kampung Kuala Wook ke Pos Pasik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Anjang Ranget, 60, berharap laluan itu dapat diturap untuk keselesaan dan keselamatan penduduk terutama anak-anak mereka.

Katanya, pada masa sama ia menjadi laluan utama penduduk untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai di sini.

“Jika keluar ke bandar Gua Musang, kami perlu menempuh perjalanan lebih 80 kilometer dan untuk sampai ke jalan utama Gua Musang-Jeli, penduduk perlu menempuh jalan tanah dan jalan berbatu hampir 40 kilometer yang mengambil masa sehingga dua atau tiga jam.

“Jika hari hujan, masa yang le­bih lama diambil kerana kende­raan berisiko tersangkut dalam lumpur dan pemandu perlu lebih berhati-hati ketika memandu,” ujarnya.

Sementara itu wakil rakyat Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah penduduk di Pos Pasik yang masih menggunakan jalan berbatu dan jalan tanah.

Beliau akan cuba membantu mengetengahkan masalah penduduk ini kepada agensi kerajaan untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN