Lelaki didenda RM18,000 miliki 628 liter diesel

Lelaki didenda RM18,000 miliki 628 liter diesel

LIM Chean Cheang, 53, didenda RM18,000 selepas mengaku bersalah menyimpan diesel tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini setelah mengaku bersalah memiliki 628 liter minyak diesel tanpa lesen, tahun lalu. 

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chean Cheang, 53, yang tidak memiliki pekerjaan tetap setelah pengakuan bersalahnya diterima.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu  pukul 10.20 pagi, 14 Mei 2023 di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini.

Kesemua diesel itu ditemukan dalam tangki tambahan lori dipandunya hingga menimbulkan syak munasabah satu kesalahan akan dilakukan iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Perbuatan dilakukan Chean Cheang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama. 

Dia turut diperintahkan menjalani hukuman penjara  10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu, selain kesemua minyak diesel serta lori yang digunakan dilucut hak.

Lelaki itu turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana memiliki 954 liter diesel tanpa lesen dengan kesalahan itu dilakukan pukul 7 pagi, 20 April 2023 di sebuah stesen minyak di Jalan Pegawai, di sini. 

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh 6 November ini untuk menjatuhkan hukuman di bawah akta sama setelah dia turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki Thailand, Sakariya Kangla, 36, turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki 96 liter diesel dan 11 liter petrol tanpa lesen.

Mengikut pertuduhan, diesel tersebut ditemukan dalam tangki asal sebuah kenderaan yang diubah suai sementara petrol itu diisi dalam dua buah tong plastik berkapasiti 10 liter yang berada dalam kenderaan sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu  pukul 12.15 tengah hari, 19 Oktober 2023 di tepi jalan Pekan Kuala Nerang, Padang Terap.

Hakim Mazdi turut menetapkan tarikh 6 November ini untuk menjatuhkan hukuman.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Nizam Amir; Mohd. Hilmi Abu Hassan dan Mohamad Sayuti Anuar Ismayatim, manakala peguam, R. Thevan mewakili Chean Cheang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN