KANGAR: Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Izizam Ibrahim sedia menerajui kepimpinan negeri dalam usaha membawa perubahan kepada parti itu bagi menarik sokongan khususnya kalangan anak muda.
Menurutnya, Perlis memerlukan kepimpinan baharu yang lebih fokus dalam memberi perkhidmatan dan tidak terlalu berpolitik.
Kata Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar itu, bagi tujuan tersebut, kepimpinan parti di peringkat pusat diharap dapat memberi perhatian dalam membolehkan pembaharuan kepimpinan dalam kalangan anak muda.
“Ini bukan soal saya, badan pimpinan negeri (BPN) atau sesiapa, tetapi kita kena gerak lebih kuat menerusi perubahan kepimpinan baharu dengan kurangkan berpolitik serta banyakkan bekerja. Kita harap kali ini pusat dapat dengar keluhan di Perlis, anak-anak muda boleh pacu untuk Bersatu lebih ke hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, Izizam berkata, beliau juga menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di peringkat pusat dalam pemilihan kali ini.
Katanya, Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang berbaki beberapa tahun lagi dilihat bakal menyajikan cabaran lebih besar dan berikutan itu, Bersatu Perlis perlu menampilkan muka baharu.
“Selama ini saya sudah tolak berkali-kali untuk bertanding, namun kali ini saya sudah bersedia bersaing bagi membawa pembaharuan buat parti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Izizam berkata, sekiranya kepimpinan pusat memilih beliau menerajui Bersatu Perlis, pihaknya akan berusaha melakukan beberapa pembaharuan antaranya memperkukuhkan keahlian parti di samping menjaga kebajikan ahli.
Ujarnya, terdapat banyak pihak berhasrat untuk bersama-sama dengan Bersatu di Perlis namun parti ini perlu memberi kepercayaan terlebih dahulu kepada pihak terlibat.
“Masih ada ruang lagi untuk Bersatu di Perlis jadi kita akan perkasakan Armada, Srikandi Muda dan Srikandi.
“Buat masa ini kemaskini menunjukkan keahlian Bersatu mencecah 4,000 orang dan kita sasar untuk penambahan keahlian baharu sekitar 10 ke 20 peratus selepas ini,” katanya yang dijangka menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar selepas tidak ada calon menawarkan diri bertanding.
Sementara itu, dua Exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Perlis menawarkan diri bertanding MPT dalam pemilihan parti itu.
Selain Izizam, dua lagi yang menawarkan diri bertanding ialah ADUN Kuala Perlis merangkap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah dan ADUN Tambun Tulang juga Exco kerajaan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak. – UTUSAN










