KANGAR: Hanya dalam tempoh dua hari, lebih 75,000 kilogram atau 75.38 tan metrik sampah dikutip di 13 lokasi di negeri ini dalam program pembersihan mega peringkat Perlis sempena ‘World Clean Up Day 2024’.
Aktiviti royong-royong dan pembersihan melibatkan 653 peserta pada hari pertama pada 28 September lalu menyaksikan kutipan sebanyak 73.93 tan metrik manakala pada 29 September dengan kutipan 1.45 tan metrik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, gotong-royong mega itu juga merupakan antara usaha kerajaan negeri menyokong program Hari Cuci Malaysia 2024 peringkat kebangsaaan baru-baru ini.
Katanya, penyertaan kerajaan negeri dalam program ini juga dilihat selaras dengan hasrat dan matlamat Perlis bagi menjayakan pelan serta dasar kebersihan negeri yang meliputi Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, Penubuhan Jawatankuasa Khas Program Perlis Bersih Indah dan Penubuhan Jawatankuasa Task Force Perlis Menawan.
Ujarnya, kebersihan merupakan satu fitrah manusia yang wajib dijaga dan pentingnya juga dalam menjaga kebersihan supaya kesihatan fizikal dan mental sentiasa terjamin.
“Amalan bergotong-royong perlu dipupuk dan disematkan dalam diri dan minda setiap golongan masyarakat agar keharmonian dan keamanan kekal terjamin untuk generasi akan datang.
Laksanakan konsep amar makruf nahi munkar juga dalam aspek kebersihan dan menjaga alam sekitar ini,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 653.90 kilogram sampah yang hanyut di Pulau Ketam, Kuala Perlis di sini dikutip oleh lebih 100 sukarelawan terdiri daripada Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) Perlis, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan komuniti kampung sekitar Kuala Perlis.
Kordinator Grass Perlis, Rosnani Nazri berkata, ia melibatkan kutipan di sepanjang 400 meter di pesisiran pantai dan kawasan Pulau Ketam.
Katanya, sampah di kawasan berkenaan masih banyak dengan kutipan mungkin dilaksanakan secara berperingkat selepas ini.
“Antara jenis sampah yang dikutip itu seperti plastik dan pelbagai lagi jenis sampah lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, pesisiran pantai sepanjang 2.6 kilometer di negeri ini dikhuatiri menjadi ‘lubuk sampah’ memandangkan setiap kali air pasang berlaku menyebabkan sampah-sarap yang dibawa dari laut ‘melimpah’ di jalan raya khususnya di antara laluan Kuala Sungai Baru hingga Sungai Padang, Sanglang di sini.
Malah, setiap kali air pasang besar tersebut berlaku dianggarkan lebih 3,000 kilogram atau tiga tan metrik sampah sarap khususnya botol plastik hanyut memenuhi pesisiran pantai berkenaan termasuk yang tersangkut di batuan tembok pemecah ombak di pantai tersebut.
Pemerhatian Utusan Malaysia pada masa itu antaranya di Pulau Ketam, Kuala Perlis mendapati sampah-sarap masih memenuhi kawasan pesisiran pantai di situ termasuk yang tersangkut di pokok dan di celah-celah batu. – UTUSAN










