GEORGE TOWN : Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan berkaitan projek-projek yang diperlukan di negeri ini kepada kerajaan Pusat menjelang Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antara permohonan yang dikemukakan itu ialah berkaitan projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Katanya, satu lagi projek ialah geran padanan sebanyak RM60 juta untuk Penang Silicon Design @5km+ yang bertujuan mewujudkan ekosistem unik dan saling berkaitan untuk perusahaan reka bentuk dan teknologi litar bersepadu (IC).
“Kerajaan negeri telah menyampaikan permohonan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan lain-lain.
“Kami berharap agar kerajaan Pusat mempertimbangkan permintaan kami dengan serius kerana projek lebuh raya bertingkat ini penting untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas yang berterusan di Seberang Perai,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis penyerahan watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Timur Laut dan Barat Daya Penggal 2024-2028.
Menurut Kon Yeow, jumlah pelaburan untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+ diunjurkan sebanyak RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kami sedang berusaha mendapatkan geran padanan sebanyak RM60 juta daripada kerajaan Pusat dalam Belanjawan 2025.
“Jumlah ini pun bukannya satu angka yang besar bagi kerajaan Pusat kerana kita mahu menggalakkan bidang IC berkembang di negara ini,” katanya.-UTUSAN










