Belanjawan 2025: Subsidi perlu fokus kepada kumpulan sasaran

Belanjawan 2025: Subsidi perlu fokus kepada kumpulan sasaran

Subsidi telur antara makanan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang membuat pengkhususan pemberian subsidi kepada kumpulan sasaran sebagai langkah mengurangkan kerugian negara.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, antara contoh peruntukan yang memerlukan perincian adalah subsidi telur dan ayam.

Katanya, subsidi itu perlu diperhalusi agar dapat diterima khususnya oleh penerima khas yang memerlukan agar dapat menambah baik status ekonomi golongan tersebut.

“Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kita sudah cukup baik namun ia perlu diperhalusi agar bantuan itu diperoleh kumpulan sasaran yang betul-betul memerlukan.

“Apabila tiada pengkhususan khas, itu yang jadi penyalahgunaan dan dimanfaatkan oleh orang yang salah sekali gus menyumbang kepada kerugian besar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kata Barjoyai, golongan yang perlu diberi keutamaan adalah penerima yang tergolong dalam kumpulan miskin bandar.

Katanya, ia perlu diperincikan bagi mengenalpasti golongan yang lebih layak dengan pemberian bantuan yang tinggi.

“Yang paling penting kita kena tumpukan kepada kemiskinan bandar sebab masih ada kumpulan gelandangan.

“Kalau kita pergi kawasan perumahan murah pun kita boleh lihat masih banyak isi rumah dengan keluarga besar tetapi hanya mempunyai satu sumber pendapatan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Barjoyai, kerajaan juga disaran untuk melaksanakan inisiatif dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bertujuan meningkatkan ekonomi pengusaha dan pekerja.

Katanya, ia adalah kerana industri tersebut merupakan majikan kepada sekitar 65 peratus jumlah pekerja di Malaysia.

“Saya rasa pemangkin dari segi memacu ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan adalah pada industri PMKS kerana mereka merupakan asas.

“Walaupun sumbangan mereka pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kurang dari 35 peratus, namun dengan pengenalan teknologi ia berpotensi meningkat.

“Yang paling penting ia boleh tingkatkan sumbangan kepada pekerja-pekerja mereka dalam bentuk gaji sekali gus meningkatkan permintaan berkesan yang menjadi pemacu kepada KDNK,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×