ALOR SETAR: Sejumlah 5,915 hektar kawasan padi rosak di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terutama di Kedah mencatatkan kerugian lebih RM46 juta, membabitkan 1,500 pesawah.
Kerugian itu dianggarkan berdasarkan kepada harga lantai padi RM1,300 bagi satu tan metrik.
Sehubungan itu, kerajaan akan memberikan pampasan bermula daripada RM876 hingga RM1,800 setiap hektar tertakluk kepada usia padi kepada pesawah-pesawah terlibat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya kini sedang melakukan kajian menyeluruh tentang kerugian yang ditanggung petani ekoran banjir yang merosakkan tanaman itu di negeri ini, baru-baru ini.
“Banjir tahun ini luar jangkaan pihak penanam padi yang menjangkakan ia berlaku pada Oktober tetapi sebaliknya pertengahan September ketika padi sedang masak dan banyak yang tenggelam.
“Lebih kurang 6,000 hektar kawasan tanaman terjejas, jadi pihak kementerian akan buat kajian menyeluruh tentang kerugian dengan bantuan agensi lain termasuk yang menjaga pengairan supaya kita dapat angka sebenar.
“Bancian awal sudah dapat dan bantuan-bantuan awal ini akan disalur dengan secepat mungkin kerana banjir melibatkan kawasan jelapang padi yang harus diambil perhatian khas untuk memulihkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Awal Bakul Makanan Madani kepada petani terjejas di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA C-3 Tajar di Langgar, di sini semalam.
Dari segi keseluruhan, ujar Mohamad, sebanyak 2,074 pesawah, petani dan penternak di utara semenanjung terjejas akibat banjir dengan kerugian mencecah sehingga RM40 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat yang melibatkan hal ehwal sekuriti makanan negara pada 1 November depan.
“Dalam mesyuarat itu kita akan masukkan hal berkaitan banjir di Kedah susulan bencana itu yang kali ini berlaku di luar jangkaan. Selain itu untuk pelan jangka panjang kita mohon kerajaan pada belanjawan dua minggu lagi supaya menaik taraf infrastruktur di kawasan luar jelapang melibatkan kos kira-kira RM400 juta,” katanya.
Katanya, kementerian juga pada masa sama akan mendukung usaha kerajaan Sarawak yang merancang untuk menjadikan negeri itu sebagai jelapang padi kedua negara.
“Kita menghadapi masalah kekurangan beras akibat banjir di Kelantan sebelum ini yang lebih kurang 4 peratus. Ini adalah usaha jangka panjang kita untuk hadapi masalah kekurangan beras,” katanya. – UTUSAN










