KUALA LUMPUR: Sebanyak 65.6 peratus daripada 22,893 kemiskinan tegar berjaya diselesaikan berdasarkan rekod yang didaftarkan sehingga 1 Ogos lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut bagaimanapun tidak memenuhi keseluruhan jumlah tuntutan sekali gus meminta semua kerajaan negeri termasuk Kelantan membuat pendaftaran baharu bagi menyelesaikan masalah miskin tegar.
Menurutnya, usaha itu memerlukan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri melibatkan menteri besar, pegawai jajahan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk membuat pendaftaran baharu serta menoktahkan kemiskinan secara keseluruhan.
“Apa yang diperoleh setakat 31 Januari 2023 adalah setiap ketua isi rumah termasuk kategori miskin tegar 126, 372 orang dan setakat 29 Julai 2024, yang dikesan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan e-kasih telah diselesaikan.
“Pada 1 Ogos 2024 kita buka untuk permintaan baru termasuk rekod lama yang perlu dibantu 22,893 orang, ia setakat julai tahun ini,” katanya menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Dewan Rakyat, semalam.
Perdana Menteri turut tidak bersetuju dengan dakwaan Siti Zailah bahawa kerajaan gagal menamatkan kemiskinan tegar mengikut tempoh yang disasarkan.
Sebaliknya beliau berkata, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kategori tersebut turut didorong daripada rekod sebelum ini iaitu ketika Perikatan Nasional (PN) mengetuai pentadbiran kerajaan.
“Janganlah kata gagal, jumlah ini adalah masa kerajaan yang disokong oleh Rantau Panjang, kita guna angka itu dan kita selesaikan. Kemudian saya rujuk kepada semua kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Mengenai mekanisme yang digunakan bagi menentukan kategori miskin tegar, Perdana Menteri menjelaskan, ukuran yang digunakan adalah berdasarkan per kapita.
“Dulu kita ambil pendapatan, tetapi kita lihat ada kelemahan umpamanya kalau pendapatan RM2,000 tetapi empat isi rumah, jadi pendapatan sebenar RM500. Berbeza RM2,000 dengan lapan isi rumah, jadi pendapatan sebenar adalah RM250.
“Sebab itu ia diubah dari pendapatan kepada per kapita, saya rasa lebih tepat, tetapi ia perlu mengambil kira per kapita berapa orang anak dan tanggungan,” ujarnya.
Perdana Menteri dalam masa yang sama turut menjelaskan yang pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan keadaan itu berbeza dengan ahli Parlimen dalam menyelesaikan masalah rakyat.
“Kenapa perlu bekerjasama? Sebab ada peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, ada zakat dan sebagainya. Jadi kita gabungkan semua itu dan saya sebut tadi, pendekatan yang kita gunakan mengikut angka terkini. Sekian untuk tahun pertama dan saya yakin ini boleh selesai,” ujarnya.
Pada 30 September lalu, Anwar mengumumkan kerajaan mengukur kemiskinan tegar dalam negara menggunakan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) sebagai asas mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan.
Sementara itu, Anwar memberitahu, pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) dibuat berdasarkan kelayakan tanpa sebarang diskriminasi terhadap ahli politik.
Kata beliau, setiap individu yang dilantik perlu melalui beberapa proses termasuk semakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Yang dilantik profesional, apakah mereka pernah pegang jawatan politik itu bukan soal, siapa yang layak kita tak diskriminasi orang politik atau bukan tapi syarat itu dan keutamaan sebahagian besar adalah golongan profesional. Melainkan beberapa bidang umpamanya institusi kewangan dan beberapa agensi terikat dengan kewangan itu tak diizinkan ahli politik dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
“Itu memang tegas dan kita mendukung prinsip yang ditekankan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang). – UTUSAN










