154 projek fasiliti kesihatan rakyat sudah dibina

154 projek fasiliti kesihatan rakyat sudah dibina

FADILLAH Yusof dua kanan) bersama Mohd. Nassuruddin Daud semasa menyaksikan majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, Kelantan, semalam. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan untuk kemudahan rakyat yang menelan belanja RM14.69 bilion bermula Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) hingga RMK-12.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu melibatkan 111 projek di bawah RMK-9 sehingga RMK-11 manakala 43 projek lagi berada di dalam RMK-12 Rolling Plan 1 (RP1) sehingga RP4.

“Pecahan kos itu merangkumi Fasa Pra Pembinaan (Perancangan) dengan 38 projek dengan anggaran kos RM 2.33 bilion.

“Sebanyak 64 projek dengan kos RM8.4 bilion bagi Fasa Projek Dalam Pembinaan dan 52 projek bernilai RM 3.96 bilion pada Fasa Pasca Pembinaan (Siap),” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Hospital Bachok di sini semalam.

Fadillah memberitahu, pada masa sama sebanyak 13 buah Projek Fasiliti Kesihatan awam telah berjaya disiapkan pada tahun ini.

Katanya, projek itu antara Hospital Seri Manjung, Perak, Hospital Kajang (Selangor), Hospital Banting (Selangor), Hospital Tawau (Sabah), Hospital Dungun (Terengganu), Hospital Miri (Sarawak), Hospital Baling (Kedah) dan Hospital Bachok (Kelantan).

Fadillah berkata, bagi Kelantan khususnya, sebanyak 21 projek telah dan sedang dilaksanakan oleh JKR dalam tempoh RMK-10 sehingga RMK-12.

Katanya, ia melibatkan dua projek peringkat perancangan, enam projek dalam peringkat pembinaan dan 13 buah projek telah berjaya diserah merangkumi dua buah hospital iaitu Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah.

“Hari ini, kita menyerahkan satu lagi projek kerajaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan iaitu Hospital Bachok,” katanya.

Sementara itu, Hospital Bachok yang dibina atas tapak berkeluasan 20.32 hektar dijangka dibuka untuk operasi pada bulan depan

Fadillah berkata, hospital tersebut mempunyai bangunan utama tiga tingkat beserta komponen jabatan termasuk Dewan Bedah selain mempunyai satu tingkat blok bangunan mekanikal dan elektrik serta satu tingkat bangunan yang terdiri daripada pengurusan sisa bangunan ansilari, kolam tadahan dan pondok pengawal.

“Fasiliti ini bakal memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk sekitar daerah Bachok. Saya dimaklumkan bahawa Hospital Bachok ini amat dinantikan penduduk tempatan di samping Klinik Kesihatan dan Klinik Desa sedia ada yang terhad kepada saringan dan rawatan awal sahaja.

“Kebanyakan kes berisiko sebelum ini dirujuk ke Hospital Pakar USM (HPUSM) Kubang Kerian yang terletak kira-kira 15 kilometer (KM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) jarak 20km,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN