1,000 masyarakat Orang Asli resah tanaman 'dilanyak' gajah

1,000 masyarakat Orang Asli resah tanaman ‘dilanyak’ gajah

APEK Asud menunjukkan tanaman sara diri sayur-sayuran yang ditanam di kawasan rumahnya di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan - UTUSAN / AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 masyarakat Orang Asli di Pos Bihai di sini hidup dalam keresahan apabila tanaman sara diri yang diusaha mereka untuk kegunaan bagi menghadapi musim tengkujuh ‘dilanyak’ gajah liar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 40, berkata, kebanyakan mereka ketika ini hanya mampu berputih mata apabila tanaman seperti pisang, ubi kayu, padi bukit dan sayur-sayuran dimusnahkan gajah liar.

Katanya, hasil tanaman yang kini sudah membuahkan hasil itu sepatutnya sudah dapat dituai pada bulan depan untuk dijadikan sumber makanan pada musim tengkujuh.

“Isu haiwan liar seperti gajah dan harimau di Pos Bihai masih tidak berpenghujung. Gajah liar dilihat sentiasa kelaparan kerana banyak tanaman penduduk telah dimakannya. Ubi kayu untuk makanan ketika musim tengkujuh juga habis ditarik keluar dari kawasan tanah.

“Gajah berkenaan masih wujud di kawasan ini. Seekor gajah baru-baru ini dikesan berkeliaran di Bihai Lama di sini apabila rumah buluh penduduk telah ditolak dan dirosakkan,” katanya.

Apek memberitahu, selain serangan gajah liar, harimau belang juga dikesan masih ada di Kampung Tendrik dan Kampung Remau sehingga menimbulkan rasa tidak selamat kepada penduduk Orang Asli.

“Kejadian terbaharu berlaku pada minggu lalu di Kampung Remau apabila dua ekor anjing peliharaan penduduk hilang dipercayai dibaham harimau.

“Kita harap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masuk dan memantau setiap minggu atau bulan selain memasang perangkap di sini,” katanya

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengakui menerima aduan daripada penduduk Orang Asli yang terjejas dengan serangan haiwan liar.

Katanya, Perhilitan perlu memberikan pendidikan berterusan kepada Orang Asli berkenaan penyediaan unggun api serta penggunaan lampu halau gajah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN