PETALING JAYA: Selepas menyaksikan kejayaan Eddy Bernard meraih pingat pertama buat kontinjen para negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 telah membuatkan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli semakin tidak sabar untuk beraksi.
Ziyad dijadual beraksi di Stade de France esok bagi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) berkata semangatnya semakin berkobar-kobar selepas dia berkesempatan menyaksikan Eddy beraksi dan berjaya meraih gangsa.
Atlet berusia 34 tahun itu berkata selepas melihat sendiri suasana pertandingan telah membuatkan dirinya bertekad untuk membawa pulang kejayaan demi kontinjen para negara.
“Semestinya. Saya sendiri sudah memegang pingat gangsa yang dimenangi Eddy bagi mengambil aura dan semakin bersemangat untuk bertanding esok.
“Saya lihat suasana pertandingan di sini amat mengujakan. Ribuan penonton hadir memberikan sokongan dan semestinya saya sukakan suasana seperti itu kerana ia membuatkan saya lebih teruja dan berkobar-kobar.
“Saya sememangnya sukakan suasana pertandingan seperti ini. Ia tidak membuatkan saya berasa gugup kerana saya sudah biasa dengannya,” kata Ziyad kepada Utusan Malaysia semalam.
Ziyad menyaksikan rakannya, Eddy memenangi pingat gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Stade de France, semalam.
Eddy menamatkan larian 11.58 saat (s) di belakang atlet Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo yang memenangi emas dengan 11.12s manakala perak dimenangi Yamel Vives dari Cuba (11.20s).
Sementara itu, jurulatihnya, Faizol Harun berkata anak didiknya, Ziyad berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di Paralimpik Paris 2024.-UTUSAN