Warisan tidak akan hadir program PKR walaupun dijemput

Warisan tidak akan hadir program PKR walaupun dijemput

MOHD. AZIZ JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) berpendirian tidak akan hadir ke program anjuran parti politik kerajaan termasuk PKR di peringkat negeri walaupun parti itu ada masa terluang dan menerima jemputan.

Ketua Penerangan Wari­san, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan enggan campur tangan hal ehwal parti politik lain sehingga mengelirukan rakyat jika mereka sebagai pembangkang di DUN Sabah berada dalam program parti politik kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat program penerangan atau mesyuarat melibatkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Warisan memberi komitmen hadir.

“Warisan sudah jelas kami tidak dapat hadir ke program PKR sebelum ini kerana ada retreat yang dijadual lebih awal. Katakan Warisan tiada program ketika itu, kemungkinan besar tidak akan pergi program PKR.

“Alasannya bukan kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi, kami tidak mahu orang ramai keliru kerana kehadiran kami dalam program parti kerajaan sedangkan kami di Sabah berstatus pembangkang.

“Jika melibatkan Kerajaan Perpaduan, iya, kami datang. Masalahnya ini program parti politik sendiri, takkanlah Wari­san mahu campur? Nanti orang keliru. Jadi, mesti ada kejelasan di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada 31 Ogos lalu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Razeef Rakimin menafikan dakwaan beberapa pihak tidak mengundang Warisan ke Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR awal bulan lalu.

Dianggarkan lebih 15,000 ahli dan penyokong PKR hadir ke perhimpunan itu.

Beliau membuktikan sesalinan surat jemputan ditujukan kepada Setiausaha Agung Wari­san, Datuk Loretto Padua pada Julai lalu supaya mereka hadir ke program itu.

Katanya, Loretto membalas mesej pada 31 Julai lalu menerusi WhatsApp dan memberitahu tidak dapat hadir kerana Wari­san mempunyai komitmen lain yang sudah dijadual lebih awal.

Parti politik lain hadir ialah DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Barisan Nasional (BN), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA serta beberapa yang lain.

Hanya Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Wari­san tidak hadir.

Isu jemputan itu bermula selepas Utusan Malaysia pada 22 Ogos lalu melaporkan PKR dikatakan menjadi penghalang kepada jalinan kerjasama antara Warisan dan UMNO di Sabah bagi menghadapi PRN.

Sumber Warisan pula memberitahu, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dilihat ‘bermuka-muka’ setiap kali bertemu Warisan, sedangkan parti itu juga mempunyai hubungan ‘amat baik’ dengan UMNO di peringkat Persekutuan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×