KOTA KINABALU: Menyesal tidak berkesudahan. Itu perasaan Jenny, 32, apabila tertangkap semasa menjadi keldai dadah setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 10 tahun lalu.
Dengan kadar upah, RM2,000, dia diarahkan untuk membawa sebuah bagasi yang tidak diketahui muatannya. Tidak disangka muatan bagasi dibawa mengandungi dadah menyebabkan dia terpaksa menghabiskan separuh hidupnya dalam penjara.
Wanita berasal dari Hubei, China itu memberitahu, dia hanya diminta membawa sebuah bagasi oleh kawan yang dikenali semasa bekerja di sebuah kilang di China. Sikap percaya kepada kawan yang baharu dikenali memusnahkan hidupnya.
“Saya hanya mampu menangis apabila diberitahu bagasi yang saya bawa mengandungi dadah. Dadah itu disembunyikan di bahagian bawah pakaian. Saya kehilangan kata-kata apabila ketiga-tiga kami ditahan di lapangan terbang,” katanya ketika ditemui semasa Program Psikopendidikan di Penjara Wanita Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, dadah yang dibawa seberat empat kilogram dan dia dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori.
“Setiap kali menghubungi keluarga di China, mereka selalu tanya bila saya boleh bebas dan pulang semula ke China. Saya sendiri tiada jawapan bila saya boleh bebas.
“Saya rasa lega apabila rayuan kami diterima dan pada 23 April lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan hukuman mati mandatori dan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun,” katanya.
Jenny berkata, penantian menunggu tarikh pembebasan akhirnya berakhir apabila dia bakal dibebaskan pada 2034 dan ibunya seperti tidak percaya apabila diberitahu dia akan dibebaskan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Katanya, memasuki tahun kelima menjalani hukuman, dia sudah boleh berbahasa Melayu dan ia memudahkannya berkomunikasi dengan penghuni yang lain.
Dia pada mulanya hanya mendengar sebutan, kemudian belajar dari kamus dan sekarang sudah boleh membaca novel bahasa Melayu. – UTUSAN