Tindakan pihak pembangkang dedah draf MoU tidak tertib

Tindakan pihak pembangkang dedah draf MoU tidak tertib

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan pihak pembangkang berkongsi draf memorandum (MoU) pembangkang kepada umum disifatkan satu tindakan yang tidak tertib.

Jurucakap Kerajaan Perpa­duan, Fahmi Fadzil berkata, MoU itu bukan perkara yang perlu dikongsi kepada sidang akhbar sebaliknya dibincangkan dengan tertib.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sepatutnya, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan rakan pembangkang lain perlu bertemu segera dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang.

“Bincang dengan tertib dan itulah forumnya. Bukan dalam sidang media seperti yang dilakukan pihak pembangkang.

“Waktu kami pembangkang masa tu, waktu kami bincang dengan Perdana Menteri pada waktu itu (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Kami tak bincang perkara ni de­ngan media.

“Jadi kalau mereka ikut langkah kami bincang dengan baik dengan tertib tak jadi masalah. Malah, Fadillah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof) telah me­nyatakan, ini adalah draf dan datanglah jumpa serta sampaikanlah pandangan…kita boleh bincang,” jelasnya.

Katanya, jika perbincangan itu dikendalikan dengan baik maka, kestabilan dapat dicapai dan peruntukan diperoleh.

Semalam, Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN mendedahkan tujuh syarat, termasuk sokongan kepada kerajaan sehingga akhir penggal parlimen ke-15, yang perlu dipenuhi ahli parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mene­rima peruntukan seperti yang dituntut selama ini.

Menurutnya, semua syarat itu digariskan di bawah draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang diterima beliau, 6 Ogos lalu.

“PN masih berbincang ber­kaitan syarat terbabit dan akan membuat keputusan berkaitannya bulan ini.

“Antara tujuh kandu­ngan, obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli parlimen pembangkang terma­suk berkaitan isu agama, kaum dan raja (3R),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN