PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaut keuntungan antara RM45,000 hingga RM50,000 sejak enam bulan lalu hanya dengan mencetak e-Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Aktiviti licik lelaki berusia 30 tahun itu berakhir apabila dia ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Tun Tan Stew Sin, Kuala Lumpur pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pukul 9.30 pagi itu, suspek ditahan ketika sedang memproses e-PLKS palsu melalui sebuah komputer peribadi.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa keping e-PLKS palsu yang telah dicetak dan beberapa naskhah pasport asing.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi suspek adalah menawarkan e-PLKS kepada pelanggan dengan bayaran sebanyak RM50 sekeping di mana suspek memproses serta mencetak sendiri e-PLKS berkenaan.
“Suspek juga turut membuat pemalsuan salinan dokumen pendaftaran dan surat berkaitan pemiagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam serbuan kedua di Jalan Masjid, Kuala Lumpur pula, Zakaria berkata, pihaknya berjaya menahan tiga warganegara India berumur antara 39 hingga 64 tahun yang memiliki sejumlah besar pasport asing tanpa kuasa yang sah.
Menurutnya, hasil dua serbuan itu, sebanyak 504 naskhah pasport asing pelbagai negara, empat buah komputer peribadi dan empat buah mesin pencetak dirampas.
“Turut dirampas termasuk 23 keping kad CIDB, beberapa keping e-PLKS palsu, 40 keping i-Kad, serta wang tunai berjumlah RM94,332,” katanya.
Katanya, kesemua warganegara asing ditahan disyaki melakkan kesalahan mengikut subseksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan subseksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Jelasnya lagi, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Pada masa sama, Zakaria berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman kepada saksi di bawah Seksyen 40A Akta Imigresen 1959/63 kepada tujuh warga tempatan untuk hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan.
Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi dan serbuan melbatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara berterusan dari semasa ke semasa serta melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana orang tanpa mengira status warganegara.
“Mereka yang ditahan boleh disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan imigresen 1963 ataupun Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – UTUSAN










