PEMBINAAN Tasik Kenyir dengan ‘menenggelamkan’ sembilan buah kampung di Hulu Terengganu membawa pulangan berbaloi apabila tasik buatan terbesar di Asia Tenggara berkeluasan 38,000 hektar itu menjana ekonomi, terutama dalam industri pelancongan selain berfungsi membekalkan elektrik, air dan sebagai tebatan banjir.
HULU TERENGGANU: Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara meliputi kawasan takungan air seluas 38,000 hektar terbentuk hasil projek pembinaan empangan Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kuala Berang, di sini pada 1978.
Dasar tasik itu dahulunya merangkumi sembilan kampung yang menjadi kawasan penempatan penduduk terawal.
Hasil pembinaan tasik tersebut yang melibatkan kawasan hutan hujan tropika tertua di dunia berusia 130 juta tahun, kini memberi limpahan rezeki kepada penduduk apabila dapat mengubah taraf hidup mereka terutama menerusi kepesatan dalam sektor pelancongan.
Pada masa sama, kerajaan negeri dapat memacu ekonomi dengan lebih pesat hasil daripada pembangunan dalam pelbagai bidang lain di tasik sedalam kira-kira 145 meter yang tersohor itu.
Tasik buatan ini yang melibatkan kos pembinaan RM700 juta membentuk 340 pulau dan 14 air terjun turut berperanan membekalkan air kepada Sungai Terengganu serta tebatan banjir.
Untuk rekod, empangan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud yang dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 1986 berkeupayaan menjana tenaga elektrik berkapasiti keseluruhan 400 Megawatt (MW) dan mampu menyumbang secara purata 1,600 Gigawatt-jam (GWh) setahun.
Hasil tenaga elektrik yang dihasilkan dari empangan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada hampir 100 peratus penduduk di Terengganu yang berjumlah 1.2 juta orang, malah bekalan elektrik turut disalurkan dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri ini.
Bukan itu sahaja, ia adalah salah satu sumber untuk menampung keperluan bekalan elektrik di Malaysia apabila turut disalurkan ke sistem talian Grid Tenaga Negara, sebelum diagihkan kepada pengguna iaitu mengikut keperluan beban tenaga di negeri-negeri terlibat.
LIMPAHAN REZEKI KEPADA PENDUDUK
Kerancakan industri pelancongan di Tasik Kenyir semakin terserlah apabila statistik terbaharu jumlah pelancong yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menunjukkan seramai 182,386 orang mengunjunginya dari Januari hingga Jun lalu.
Sementara itu, seramai 218,157 pelancong direkodkan pada tahun lalu.
Berdasarkan kehadiran pelancongan yang direkodkan pada tahun lalu, Tasik Kenyir mampu menjana pendapatan lebih RM10 juta dan limpahannya dinikmati penduduk setempat.
Pada masa sama, Ketengah menyasarkan seramai satu juta pelancong mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun ini menerusi penganjuran pelbagai acara, program promosi dan pemasaran produk, selain meningkatkan kemudahan fasiliti dan aktiviti bebas cukai di tasik itu.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak RM14.51 juta telah diluluskan untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan pelancong di tasik ini.

Kesempatan tersebut diambil oleh penduduk untuk menjalankan pelbagai pekerjaan dan mengusahakan perniagaan seperti rumah bot, restoran, kedai cenderamata, inap desa, menjual buah-buahan serta pemandu pelancong untuk menampung pendapatan.
Pada masa ini, sebanyak 83 buah rumah bot dan lebih 200 bot laju serta bot rekreasi yang diusahakan penduduk tempatan beroperasi untuk kemudahan pelancong menjelajah Tasik Kenyir.
Seorang pemilik rumah bot di situ, Kamarudin Ghazali, 53, dari Kuala Terengganu berkata, Tasik Kenyir yang mempunyai keindahan alam semulajadi menjadi ‘lubuk’ rezeki kepada penduduk Terengganu melalui pelbagai kemudahan yang disediakan untuk keselesaan pelancong.
Dia dan beberapa rakan lain mengusahakan pengangkutan rumah bot untuk kemudahan pelancong yang ingin menjelajah Tasik Kenyir sambil menikmati alam semulajadi yang indah di tengah-tengah tasik.
Katanya, pada masa ini, dia mempunyai dua buah rumah bot yang beroperasi di tasik tersebut sejak 10 tahun lalu.
“Selepas pandemik Covid-19, kehadiran pelancong termasuk luar negara di Tasik Kenyir semakin meningkat dan saya sentiasa menerima tempahan rumah bot terutama pada musim cuti persekolahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kamarudin memberitahu, harga pakej rumah bot yang ditawarkan dia meraih pendapatan bersih kira-kira RM10,000 sebulan hasil daripada perniagaan tersebut.
Selain itu, tambahnya, ramai anak muda tempatan ditawarkan berkerja sebagai kru di rumah bot.

Sementara itu, seorang peniaga, Azri Ngah, 49, memberitahu, Tasik Kenyir adalah lokasi yang digemari ‘kaki pancing’ apabila kebanyakan pengunjung datang untuk memancing di samping beriadah bersama rakan-rakan dan keluarga.
Menurutnya, dia mengambil kesempatan tersebut menawarkan perkhidmatan menerusi agensi pelancongan dengan menyediakan pakej-pakej menarik termasuk membawa pelancong memancing.
Selain itu, dia menganjurkan pertandingan memancing termasuk melibatkan peserta dari luar negara untuk membantu menarik pelancong ke Tasik Kenyir.
“Dalam tempoh 40 tahun pembukaan Tasik Kenyir, ramai dalam kalangan anak-anak tempatan dapat menceburi pelbagai perniagaan dan pekerjaan yang dapat mengubah taraf kehidupan mereka walaupun tinggal di kawasan pendalaman,” ujarnya.
PROJEK SOLAR TERAPUNG BERSKALA BESAR
Sementara itu, Kerajaan Negeri Terenggganu akan memanfaatkan permukaan air di tasik yang terbentang luas idengan membangunkan projek solar fotovoltaik terapung berskala besar.
Ia berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikat kerajaan negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dengan syarikat dari Jepun, Shizen International Inc. di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Difahamkan, projek solar terapung berkapasiti 500 MW yang bernilai RM1 bilion itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 2,000 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, melalui MoU itu, Terengganu Inc. berharap dapat merealisasikan hasrat meneroka dan mempelopori projek pemasangan solar terapung sekal igus meningkatkan pendapatan negeri melalui ekonomi teknologi hijau.
“Ini adalah langkah awal Terengganu Inc. dan Shizen International Inc. untuk melonjakkan penyertaan dalam program Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara,” katanya.
Burhanuddin berkata, kerjasama itu selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempromosikan penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan.
Pada masa sama, tambahnya, projek tersebut melonjakkan pendapatan kerajaan negeri, selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
TERNAKAN IKAN AIR TAWAR DALAM SANGKAR
Sebelum ini, kerajaan Terengganu turut menyediakan kawasan seluas 2,800 hektar di Tasik Kenyir untuk pembangunan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran.
Projek ternakan itu yang diusahakan beberapa syarikat dan penduduk tempatan menghasilkan lebih 150 tan metrik ikan pelbagai spesis dengan nilai RM4.4 juta setiap tahun.
Sebahagian ikan air tawar tersebut bukan sahaja memenuhi pasaran seluruh negeri, malah dieksport ke luar negara.
Pada masa sama, sebanyak satu juta benih ikan pelbagai spesies dilepaskan setiap tahun dalam usaha memulihara sumber ikan terus kekal di tasik itu, selain menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam kalangan peminat aktiviti memancing.
Di tasik tersebut selama ini menjadi lubuk kepada lebih 300 spesies ikan seperti ikan kelah, ikan patin dan ikan toman.
‘PENGHUNI DASAR TASIK’
Sebelum pembinaan empangan tersebut, kira-kira 100 penduduk yang tinggal di sembilan kampung telah dipindahkan secara berperingkat di penempatan baharu yang disediakan kerajaan di Kampung Dura, Kuala Berang.
Kampung-kampung terbabit yang telah tenggelam di dasar tasik tersebut ialah Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terengganu, Kerbak dan Belimbing.
Selain itu, di sebalik keindahan flora dan fauna serta kekayaan biodiversity dimiliki Tasik Kenyir, tersimpan banyak kenangan ditinggalkan penduduk di sembilan kampung tersebut yang kini ditenggelami air.
Generasi terakhir ‘penghuni dasar tasik’ itu yang masih hidup kini sekadar menyelam rindu setelah mereka tidak dapat menjejaki lagi kampung mereka yang pernah didiami kira-kira 60 tahun lalu.

Seorang bekas penduduk asal Kampung Melur, Deris Ahmad, 74, berkata, penduduk di sembilan kampung yang ditenggelami air di Tasik Kenyir tidak pernah melupakan asal usul mereka walaupun kampung tersebut telah hilang daripada pandangan mata.
“Kami ketika itu tinggal di tengah belantara yang jauh terpisah dengan penempatan lain, kami seolah-olah berada di ‘dunia asing’,” katanya.
Katanya, kedudukan Kampung Melur ketika dahulu terletak tidak jauh dari kawasan Air Terjun Sungai Lasir yang paling terkenal di Tasik Kenyir pada masa ini, iaitu paling bawah berbanding lapan lagi kampung lain.
Sementara itu, Esah Abd. Rahman, 67, pula berkata, suasana di kampungnya ketika itu mendamaikan dan mempunyai pemandangan yang cukup menarik seperti dalam filem-filem Bollywood.
Katanya, kedudukan Kampung Melur yang didiami dulu terletak di tepi sungai dan penduduk menggunakan sungai tersebut untuk mandi dan membasuh pakaian serta minum kerana air di sungai itu jernih dan bersih.
“Penduduk sentiasa berkumpul dan berehat di atas pasir sungai itu yang cukup indah pemandangannya seperti lokasi penggambaran filem Bollywood dengan keadaan pasir yang memutih dan bersinar serta di kelilingi gunung-ganang menghijau,” ujarnya. – MINGGUAN










