Sidang DUN Pahang: Tambah petak letak kereta tangani kesesakan Cameron Highlands

Sidang DUN Pahang: Tambah petak letak kereta tangani kesesakan Cameron Highlands

MOHAMAD Fakhruddin Mohd. Ariff menjawab soalan dalam Sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Pahang, hari ini. - UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands, kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) bersetuju menambah tempat letak kereta di pusat peranginan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, tempat letak kereta itu dicadangkan dibangunkan di atas sebahagian tanah milik MDCH.

“Pelaksanaan ini mengandungi dua fasa, iaitu fasa satu melibatkan 516 petak parkir yang dijangka siap pada Februari 2025.

“Fasa dua pula sebanyak 543 petak parkir tertakluk kepada keperluan dan permintaan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang. 

Chi Yang dalam soalan dikemukakan bertanya tentang perancangan kerajaan untuk membina parkir bertingkat di Cameron Highlands bagi menambah jumlah tempat letak kenderaan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di Kea Farm iaitu kawasan tumpuan kesesakan.

Mohammad Fakhruddin dalam pada itu memaklumkan, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta bagi projek naik taraf jalan di bulatan McDonald’s ke persimpangan Brincang dinamakan Time Tunnel dan membina lingkaran sehala di Kea Farm.

“Untuk masa ini saya dimaklumkan sembilan peratus daripada progres tersebut telah dilaksanakan oleh pihak-pihak terbabit. Yang keduanya, fasa 2B, masih dalam peringkat reka bentuk.

“Kerajaan juga mengeluarkan peruntukan sebanyak RM480 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan. Ini masih lagi dalam peringkat reka bentuk,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN