PETALING JAYA: Seorang pemimpin tertinggi UMNO mempersoal nasib bakal dihadapi syarikat ditubuhkan oleh empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN), SG4 Group Sdn. Bhd. (SG4) jika ada antaranya yang tumbang dalam pilihan raya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.
Beliau menjangkakan, keadaan itu akan mencetus masalah berangkai seperti aspek pekerja, aset, saham dan lembaga pengarahnya.
“Apa akan jadi kepada syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan? Terengganu, Kedah dan Perlis bukan mustahil dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN).
“Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat. Penubuhan syarikat SG4 ini bermotif politik bukan perniagaan. Apa lagi penasihatnya adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sidang akhbar semalam, empat negeri dikuasai PN menubuhkan syarikat SG4 bagi membolehkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.
Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap negeri akan mempunyai 25 peratus pegangan dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.
Dr. Mahathir berkata, SG4 juga bermatlamat meningkatkan nilai pelaburan di empat negeri tersebut sama ada menarik pelabur tempatan atau luar negara.
Mengulas lanjut, Puad secara sinis menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwanya tidak suka berkongsi.
“Sanusi pula tidak suka kongsi-kongsi. Takut Sanusi kata, ‘Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi’,” katanya.










