Sasar program amal tahunan bantu golongan memerlukan - Utusan Malaysia

Sasar program amal tahunan bantu golongan memerlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 300 individu daripada golongan kurang bernasib baik di Kelantan telah menerima bantuan keperluan harian menerusi program amal kebajikan anjuran Qayra Beauty Empire.

Menurut pengasasnya, Noor Faqirah Abdullah, 29, pihaknya bercadang untuk mengadakan program amal tersebut sekurang-kurangnya tiga kali setahun setelah penganjurannya buat kali pertama pada Oktober 2023.

“Kami sediakan bantuan keperluan harian khusus buat 300 penerima dan barangan itu seperti lampin pakai buang, beras serta barangan keperluan lain. Kebiasaanya, kami sediakan bantuan untuk 300 orang, tetapi yang datang selalunya lebih 400 hingga 500 orang.

“Jadi, yang selebihnya itu yang tak dapat barangan keperluan harian seperti orang lain, mereka diberikan duit tunai RM50 setiap seorang. Antara yang menerima sumbangan ini adalah dari serata daerah seperti Kota Bharu, Pasir Puteh, Pengkalan Kubur, Tumpat, dan Besut,”katanya.

Menurut Faqirah, sehingga kini, pihaknya membelanjakan RM30,000 bagi tujuan kebajikan selain membuka ruang kepada ahli Qayra Beauty Empire untuk bersama-sama memberikan sumbangan.

Pada masa yang sama, kata Faqirah, pihaknya memahami kesulitan ekonomi yang dialami masyarakat selepas kenaikan harga barangan dan ia juga menjadi sebab utama pihaknya mengadakan program sumbangan barangan keperluan dengan memberi fokus kepada orang sekeliling.

“Program ini memfokus kepada hasrat untuk membantu orang sekeliling memandangkan keadaan ekonomi sekarang dengan harga barangan yang naik mendadak.

“Semestinya tumpuan diberikan kepada yang betul-betul susah kerana orang yang tidak berduit akan rasa barangan itu terlalu bernilai dan berharga,” ujarnya.

Pihaknya juga berhasrat berkongsi rezeki yang diperoleh menerusi jualan dengan menggunakan sebahagian pulangan dan menyalurkannya kepada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN