Rokok dijual di ruangan tidak halal?

Rokok bakal dijual di bahagian tidak halal?

Mohd. Na'im Mokhtar menyampaikan sijil Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) 2024 kepada pelajar sarjana muda syariah, Ally Aiman Anuar di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Bangi di Selangor semalam. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Keputusan meletakkan rokok pada ruangan bertanda tidak halal akan dibincangkan bersama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini berikutan rokok pernah difatwakan haram sejak 1995.

“Perspektif kita ialah bahagian fatwa (pengharaman rokok). Jadi sejauh mana untuk menentukan (rokok) duduk dekat tempat atau seksyen halal atau non halal (tidak halal) atau pun tidak, itu di bawah kuasa KPDN. Saya akan cuba bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jakim di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, semalam.

Malaysia memfatwakan rokok haram sejak tahun 1995 manakala vape dan rokok elektrik difatwakan haram sejak 2015.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan rokok sebagai salah satu ancaman kesihatan awam terbesar yang dihadapi dunia dan membunuh lebih dari 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun.

Lebih tujuh juta kematian dilaporkan di seluruh dunia berkaitan penggunaan tembakau langsung manakala sekitar 1.3 juta adalah bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok.

Sementara itu, Na’im menjelaskan, sijil halal yang dimiliki oleh kedai-kedai makan di negara ini adalah bagi meyakinkan masyarakat premis tersebut te­lah diaudit oleh Jakim bagi memastikan ia mematuhi standard halal.

“Kita mungkin akan kata setiap bahan itu menepati standard halal tetapi siapa yang mahu memberikan pengesahan bahawa ia memang pasti halal?

“Itulah peranan dan pentingnya sijil halal tersebut sebab semua orang boleh dakwa bahawa bahan yang digunakan adalah halal.

“Cuma saya mahu tekankan di sini bahawa ketiadaan sjil halal tidak bermakna menu yang disediakan itu tidak halal daripada perspektif Islam,” jelasnya.

Oleh itu, beliau mengajak syarikat-syarikat yang belum lagi memohon pensijilan halal untuk mohon sijil itu dengan segera.

“Kos untuk mendapatkan pensijilan halal ini tidak mahal, dalam setahun bayar RM100 sehingga RM200 sahaja. Oleh itu, saya menganjurkan kepada masyarakat Islam khususnya untuk memastikan apabila pergi ke restoran yang mempunyai tanda halal agar lebih yakin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN