PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkenalkan subjek pendidikan seks di peringkat taska atau sekolah rendah berikutan peningkatan kes gangguan seksual yang semakin membimbangkan di negara ini.
Ini berikutan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak 2020.
Kes tersebut meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
Jumlah paling tinggi direkodkan pada 2023 sebanyak 766 kes berbanding 459 kes pada 2020.
Bagi tahun ini, setakat empat bulan sehingga April lalu, sebanyak 268 kes dilaporkan.
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, isu pendidikan seks telah lama dicadangkan, namun ditentang ekoran salah faham terhadap istilah ‘pendidikan seks.’
Kata beliau, kandungan pendidikan seks atau keselamatan diri mestilah merangkumi topik-topik seperti kesedaran mengenai tubuh badan, ruang peribadi (personal boundary), bahaya orang yang tidak dikenali (stranger danger), sentuhan boleh diterima atau tidak boleh diterima, cara menyelamatkan diri dan cara mengenali serta melaporkan bahaya.
Menurutnya, istilah itu boleh ditukarkan kepada ‘pendidikan keselamatan diri’ kerana ramai beranggapan pendidikan seks bertujuan mengajar kanak-kanak tentang proses hubungan seksual sedangkan ia sebenarnya mengenai keselamatan diri.
“Pendidikan seks atau keselamatan diri’ perlu diajar seawal usia dari taska dan tadika atau sekolah rendah agar kanak-kanak dilengkapi dengan pengetahuan dalam melindungi diri mereka daripada ancaman luar.
“Ibu bapa dan masyarakat perlu diberi kesedaran agar mempunyai tanggungjawab bersama dalam melindungi kanak-kanak. Langkah proaktif perlu diambil untuk menghalang perkara buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan tabiat individu termasuk ahli keluarga mencium, memegang atau menyentuh kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan di bawah usia 18 tahun berisiko terpalit dengan kesalahan melakukan gangguan seksual di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Perkara itu terkandung di bawah Seksyen 14 dan 15 akta tersebut yang memperuntukkan pelbagai kesalahan gangguan seksual fizikal atau secara sebaliknya terhadap kanak-kanak tanpa mengira talian persaudaraan.
Mengulas lanjut, Hasnah berkata, pendekatan pengajaran disesuaikan menerusi gaya pembelajaran kanak-kanak menggunakan bahan bergambar menarik dan aktiviti sesuai dengan tahap kefahaman bagi memastikan mereka dapat memahami dan mengaplikasikan apa yang diajar secara berkesan.
“Bagi unit khusus mengenai kesedaran tubuh badan (body awareness), kanak-kanak diajar mengenal pasti bahagian-bahagian tubuh mereka serta memahami bahagian mana yang boleh disentuh dan siapa yang dibenarkan untuk menyentuh mereka seperti ibu bapa atau doktor.
“Selain itu, bagi unit mengenai bahaya orang tidak dikenali (stranger danger), yang mana kanak-kanak diajar mengenal pasti siapa ahli keluarga, rakan, guru serta apa yang dimaksudkan dengan ‘orang yang tidak dikenali.’
“Contohnya, jika orang tidak dikenali mengarahkan mereka untuk ikut, kanak-kanak perlu menolak dengan tegas dan segera lari kepada ahli keluarga dan penting supaya kanak-kanak berani berkata ‘tidak’ terhadap sentuhan atau perbuatan tidak boleh diterima kerana sifat mereka yang sering patuh kepada orang dewasa,” jelasnya.
Sementara itu, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperinci silibus dan pengajaran pendidikan seks kepada pelajar.
Menurutnya, KPM bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) perlu duduk bersama dalam menyediakan satu silibus komprehensif serta melatih guru-guru agar mampu menyampaikan pendidikan ini dengan lebih berkesan.
“Pendidikan ini perlu disesuaikan mengikut peringkat umur. Sebagai contoh, umur enam tahun, apa perlu diajar dan umur tujuh tahun, apa yang sesuai. Hingga ke peringkat apabila mereka mencapai umur baligh, mereka perlu tahu cara menangani perubahan diri dan perasaan dialami.
“Ini penting supaya kanak-kanak diberi kefahaman menjaga kebersihan diri, menjaga maruah diri dan mengenal pasti sentuhan dibenarkan atau sebaliknya. Malahan dalam memberi ciuman kepada kanak-kanak ada yang dibolehkan dan ada yang tidak
“Dalam Islam, Rasulullah SAW mencium ubun-ubun kanak-kanak, bukan di pipi atau tempat lain. Dalam keluarga, kita biasanya mencium dahi atau kening, yang merupakan cara ciuman yang dibenarkan. Tidak ada keperluan untuk mencium bibir terutama pada bayi. Ini adalah contoh asas perlu diajarkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sentuhan terlarang termasuk menyentuh bahagian dada, kemaluan atau menyapu-nyapu paha.
Jelasnya, walaupun kelihatan seperti perkara remeh apabila ahli keluarga memegang anak saudara, namun ia tetap tidak dibenarkan.
“Pendidikan seks seharusnya dimulakan dari rumah dan diteruskan di sekolah, taska dan institusi lain kerana jika tidak, anak-anak tidak akan tahu batasan atau permasalahan berkaitan dengan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Ini kerana kita sering bertindak mengikut kebiasaan kerana beranggapan cara itulah yang betul, tetapi hakikatnya kebiasaan tersebut tidak semestinya sesuai dalam setiap situasi.
“Malah, ada ketikanya, cara kita berinteraksi atau melayani kanak-kanak boleh dianggap sebagai gangguan seksual tanpa kita sedari,” tambahnya.
Dalam pada itu, peguam dan pemerhati undang-undang, Nizam Bashir Abdul Karim Bashir berkata, kerajaan wajar menilai semula kerangka undang-undang sedia ada dan meminda Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 untuk memperkasa keselamatan kanak-kanak.
Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan program kesedaran hak kanak-kanak berkenaan undang-undang yang digubal supaya boleh memberi perlindungan sewajarnya kepada kanak-kanak. – UTUSAN










