Penjara 15 tahun liwat banduan dalam sel tahanan

Penjara 15 tahun liwat banduan dalam sel tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Seorang banduan reman kekal menjalani hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan empat sebatan kerana melakukan seks luar tabii terhadap seorang lelaki yang berkongsi sel tahanan dengannya di Penjara Sungai Buloh, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian terhadap bekas pekerja kilang, S. Kalidas, 37, secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhirnya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya pada 5 Ogos 2021 serta Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengesahkannya pada 25 Julai 2022.

Di hadapan panel berkenaan yang bersidang pada 5 Januari lalu, Kalidas hanya merayu terhadap hukuman. Mahkamah memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 28 November 2018.

Dalam penghakiman itu, Hakim Azmi berkata, hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah atau keterlaluan ketika menjatuhkan hukuman terhadap banduan tersebut.

“Kes-kes jenayah seksual sangat keji dan mengaibkan. Pastinya kejadian liwat yang menimpa mangsa dalam sel tahanan penjara menjadi titik hitam yang sukar dipadam. 

“Sewajarnya diulangi, perbuatan seks luar tabii berlaku dalam sel tahanan penjara yang mempunyai kawalan dan peraturan ketat dan perayu sempat ‘menangguk di air keruh’ dan mengintai peluang bagi memuaskan nafsunya.

“Perbuatan itu bukan sahaja mencemar nama baik pihak penjara yang bertungkus lumus menjaga keselamatan dan kebajikan penghuninya, malah banduan-banduan lain turut terkena tempias,”’ ujar Hakim Azmi dalam penghakiman tertulis bertarikh semalam yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Kalidas disabitkan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 12 Oktober 2018 di sebuah sel di Penjara Sungai Buloh.

Kedua-dua lelaki berkenaan ketika itu merupakan banduan reman yang sedang menunggu hukuman atas kesalahan berkaitan dadah manakala sel tahanan itu turut dihuni enam lelaki lain.

Kes pendakwaan menyatakan, mangsa terbangun dari tidur selepas perayu menarik leher dan pinggangnya sebelum meletakkan kaki di atas paha lelaki itu. Mangsa diliwat selama tiga minit dan tidak berani melawan, menjerit atau meminta bantuan kerana diugut perayu.

Naratif pendakwaan turut menyatakan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada seorang banduan lain yang kemudian memaklumkannya kepada pegawai penjara yang bertugas di blok berkenaan.

Sementara itu, kuorum berkenaan turut berpuas hati, pembelaan perayu bahawa dia tidur pada malam kejadian kerana mengambil ubat, merupakan satu penafian semata-mata dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail mewakili responden berhujah, fakta kes menunjukkan perayu masih melakukan jenayah meskipun ditempatkan di penjara dan perbuatan itu dilakukan terhadap mangsa yang menghuni sel sama.

“Sedangkan di dalam penjara yang mempunyai peraturan ketat sekalipun, perayu masih mencari peluang dan berani melakukan kesalahan jenayah, apatah lagi di luar penjara,”’ ujarnya.

Sementara itu, peguam Ameerul Aizat Noor Haslan memohon hukuman penjara disingkatkan kepada 10 tahun dan sebatan dikurangkan kerana anak guamnya menyesali perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN