Pemilihan Bersatu: Calon bertanding disaring kelayakan

Pemilihan Bersatu: Calon bertanding disaring kelayakan

FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua calon yang menawarkan diri dalam pemilihan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2 November ini  akan disaring bagi memastikan kelayakan masing-masing.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berkata, saringan itu mengambil kira kelayakan dan kriteria calon yang mahu bertanding khususnya melibatkan jawatan lima tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti selain tempoh keahlian yang mahu merebut jawatan tertinggi.

Menurut beliau, proses saringan sedang dilakukan dan jawatankuasa pemilihan akan mengumumkan calon yang layak bertanding pada Sabtu ini

“Selepas pencalonan diterima, semua calon perlu disaring daripada kelayakan dan sebagainya. Jadi jumlah pencalonan diterima setakat ini bukan jumlah yang disahkan akan bertanding.

“Sebagai contoh, beliau baru menjadi ahli pada 1 Januari 2024, tidak layak bertanding. Selain itu, mereka hendak bertanding Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden mesti penggal lengkap menjadi Ketua Bahagian sekurang-kurangnya dua penggal atau Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Malah hendak bertanding Ketua Bahagian, dia kena tiga tahun menjadi ahli.

“Jika tidak cukup syarat, boleh memohon kepada MPT untuk dikecualikan syarat-syarat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, musim pemilihan parti itu bermula dengan proses pencalonan di peringkat bahagian di seluruh negara di samping proses pencalonan peringkat pusat bagi jawatan MPT, pimpinan tiga sayap parti Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu Pusat.

Ia menyaksikan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menghantar pencalonan merebut jawatan Timbalan Presiden Bersatu manakala Ahmad Faizal pula sebagai Naib Presiden.

Bagaimanapun Ketua Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan tidak bertanding mana-mana jawatan di peringkat kepemim­pinan tertinggi pada pemilihan parti itu sebalik­ya hanya akan bertanding di peringkat bahagian iaitu di Gombak.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal memaklumkan, proses pemilihan Bersatu akan diadakan pada 2 November ini yang berlangsung serentak dengan Persidangan Bahagian di seluruh negara.

Katanya, persidangan semua sayap-sayap ditetapkan pada 26 Oktober.

“Pada 2 November, akan diadakan Persidangan Bahagian-Bahagian yang turut menetapkan agenda pemilihan kepimpinan tertinggi parti dan bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau menepis dakwaan bahawa Bersatu kononnya dikawal oleh kem-kem tertentu termasuk bekas ahli UMNO dan PKR menjelang pemilihan parti berlangsung kerana hanya 30 peratus atau 61 daripada 202 daripada bahagian menyaksikan pertandingan Ketua Bahagian.

“Berbanding parti lain, sudah tentu semua bahagian ada pertandingan. Ini menunjukkan parti ini aman, ramai orang luar tidak tahu berkenaan tentang Bersatu.

“Tidak ada bekas UMNO, bekas PKR masuk cuba mengawal Bersatu. Kita bawa politik baharu dalam Bersatu untuk menjaga keharmonian parti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×