KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklum balas daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai semakan transaksi wang melibatkan beberapa individu yang dikaitkan pemerdangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan semakan telah dihantar kepada BNM dan ia memerlukan masa untuk mendapatkan jawapan.
“Semakan itu akan memfokuskan pada aliran transaksi yang berlaku di Myanmar melibatkan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, keterangan daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri juga telah diambil semalam bagi membantu siasatan.
Setakat ini kata Razarudin, seramai lapan individu termasuk seorang ahli politik dan suaminya telah pun dipanggil bagi membantu siasatan terhadap dakwaan berkenaan termasuk penulis blog dari Indonesia.
Baru-baru ini Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya dalam kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ekoran itu, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim telah tampil menafikan dakwaan terbabit dengan sindiket berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beberapa dokumen berkaitan kes pemerdagangan manusia di Myanmar itu telah diserahkan kepada polis ketika beliau datang memberi keterangan di Pejabat Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom).semalam.
“Selain itu, kami juga telah melakukan serahan dokumen mengenai laporan dikeluarkan United State Institute of Peace yang mendedahkan penglibatan rakyat Malaysia dalam kes pemerdagangan manusia,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, United State Institute of Peace telah mengeluarkan jurnal berkenaan sebelum disiarkan di dalam portal.
“Amat ketinggalan, jika kita tidak lakukan siasatan berhubung pendedahan itu. Jadi kita telah serah dokumen berkenaan kepada pihak penyiasat,” jelasnya.
habis










