Pekerja restoran dipenjara 5 tahun amang seksual anak tiri

Pekerja restoran dipenjara 5 tahun amang seksual anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran ikan bakar dipenjara lima tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya, tahun lalu.

Hakim Mohd. Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman ke atas lelaki berumur 37 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 8 Disember 2022.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak. Tertuduh juga perlu menjalani kaunseling pemulihan selama setahun serta pengawasan polis untuk tempoh setahun,” katanya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika kejadian berumur 11 tahun di sebuah pangsapuri di Kepong, masing-masing pada 4 pagi, pertengahan Ogos 2023 dan 2 pagi, 2 Disember 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, peguam Zulkifli Awang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan mengambil kira tertuduh perlu menanggung ibu dan ayahnya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan mereka bergantung pada ubat.

“Pengakuan salah ini menunjukkan tertuduh insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan yang sama. Ini adalah kesalahan kali pertama tertuduh, oleh itu saya mohon mahkamah mempertimbangkan rayuan dengan sewajarnya,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain memohon agar tertuduh menjalani kaunseling pemulihan selama setahun serta pengawasan polis untuk tempoh sama.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira dalam kes ini mangsa adalah kanak-kanak berumur 11 tahun semasa kejadian serta hubungan tertuduh dengan mangsa. Tertuduh sepatutnya melindungi mangsa bukan mengambil kesempatan terhadapnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN