Pakatan Harapan penghalang Pas tawan Pahang PRU16

Pakatan Harapan penghalang Pas tawan Pahang PRU16

Sebahagian daripada perwakilan Pemuda Pas yang hadir Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia di Temerloh, semalam. - Gambar FB Pemuda Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dan Perikatan Nasional (PN) dilihat sukar menawan Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana masih belum mampu menarik pengundi bukan Melayu.

Ini kerana, terdapat 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang memiliki hampir separuh pengundi bukan Melayu termasuk lapan dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU sebelum ini.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, meskipun cita-cita Pas itu dilihat realistik buat masa ini, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH boleh menggugat hasrat parti itu untuk menguasai Pahang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tidak dinafikan Pas dan PN mempunyai kelebihan di kerusi-kerusi Melayu, namun kehadiran PH menerusi 10 peratus pengundi bukan Melayu, memberi kelebihan kepada BN.

“Memang cita-cita realistik berdasarkan faktor Pas ada kelebihan di kawasan Melayu, memandangkan mereka kini menguasai Perlis, Kedah Kelantan dan Terengganu.

“Namun, harus difahami Pahang bukan semua DUN majoriti Melayu, negeri ini seperti Perak, Melaka di mana ada kawasan memiliki bukan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu yakin mampu menguasai Pahang pada PRU akan datang, sekali gus menjadikan ia negeri kelima ditadbir parti itu bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Katanya, kejayaan yang dilakar Pas hari ini adalah hasil daripada ‘benih ditanam’ sejak berdekad lalu, lantas bukan mustahil untuk Pahang dikuasai pada PRU16.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, PH mampu melemahkan cita-cita Pas dan PN untuk menawan Pahang, malah Persekutuan jika mereka bekerjasama dengan PN dalam PRU akan datang.

“PH berada di tengah-tengah hasrat Pas ini, yang mampu menarik pengundi bukan Melayu akhirnya dapat memberi kelebihan kepada UMNO kerana kerjasama di peringkat Pusat dan negeri.

“Walaupun dapat menarik sekurang-kurangnya 10 peratus pengundi bukan Melayu, ia dapat beri kelebihan kepada BN dan PH,” katanya.

Justeru itu katanya, walaupun strategi itu dilihat realistik, tetapi agak sukar untuk Pas mengulangi kejayaan di empat negeri terbabit.

Pada PRU15, PN memenangi 17 daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di Pahang, menyamai kerusi dimenangi BN manakala PH, lapan kerusi. Bagaimanapun, BN-PH bergabung bagi membentuk kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini