PETALING JAYA: Malaysia menyatakan komitmen untuk memperkasakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 serta pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata, komitmen itu dinyatakan Menterinya, Fadhlina Sidek ketika mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama dengan pemimpin pendidikan antarabangsa yang lain sempena Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Paris, Perancis pada Isnin.
Menurut Fadhlina, potensi teknologi AI perlu terus diterokai untuk menyokong matlamat pendidikan dan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.
“Fadhlina turut berkongsi pengalaman dengan peserta mengenai inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian berkata, Malaysia menyatakan hasrat untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Katanya, hasrat itu disuarakan Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dalam pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Xing Qu, semalam.
“Ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program-program yang dilaksanakan di peringkat serantau dan global.
“Xing Qu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan untuk memperkukuhkan agenda UNESCO.
“Perbincangan antara kedua-dua pihak turut berkisar tentang agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang Sains dan Teknologi serta etika dalam teknologi AI,” katanya. – UTUSAN










