PETALING JAYA: Polis memeriksa lima unit kediaman disyaki didiami pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di kawasan perumahan teres dua tingkat di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, awal pagi tadi.
Pemeriksaan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di premis yang turut dipercayai dijadikan rumah amal, bermula pukul 5.30 pagi tadi.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua unit kediaman berkenaan kosong selepas penghuninya dipercayai meninggalkan kediaman mereka sejak dua hari lalu.
Dalam operasi bersama lima pasukan berasingan iaitu masing-masing satu pasukan untuk setiap kediaman mendapati rumah yang menjadi sasaran tidak berpenghuni walaupun terdapat pakaian dan kenderaan yang diletakkan dalam kediaman.
Berdasarkan maklumat salah seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu sebelum ini dia sering melihat kumpulan kanak-kanak yang mendiami kediaman yang diperiksa polis bermain di padang permainan kawasan kediaman yang dilengkapi kawalan keselamatan berpagar.
“Sebelum ini mereka sering berkumpul di padang permainan atau di pekarangan rumah mereka namun hilang sejak Khamis lalu.
“Kami ada melihat beberapa kenderaan di hadapan setiap rumah berkenaan beberapa hari lalu dan dipercayai membawa mereka meninggalkan kawasan kediaman ini,” katanya.
Semasa pemeriksaan di unit kediaman pertama yang disyaki dijadikan rumah amal serta dianggarkan didiami oleh 20 kanak-kanak bersama penjaga mereka, terdapat pakaian yang masih tersidai di ampaian selain dipenuhi tujuh basikal kanak-kanak.
Selain itu, terdapat taman yang menempatkan puluhan ekor burung puyuh di bahagian belakang kediaman selain bahagian belakang rumah yang diubahsuai menjadi tempat mandi.
Semua kawasan yang menjadi sasaran pihak polis diperoleh berdasarkan siasatan yang dijalankan sebelum ini.
Secara kesimpulannya, kesemua kediaman yang diperiksa dipercayai ditinggalkan secara mengejut.
Selain serbuan di Bandar Tasik Puteri oleh pasukan dari Bukit Aman, beberapa serbuan lain turut dilakukan oleh Polis Kontinjen Negeri di seluruh negara terhadap sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan GISBH.
Pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi Op Global.
Berdasarkan saringan kesihatan terhadap 384 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global, ada ciri-ciri pengabaian dan penganiayaan berlaku. – UTUSAN







