MB nasihat pelajar IPT rancang awal balik mengundi

MB nasihat pelajar IPT rancang awal balik mengundi

ONN HAFIZ Ghazi (kiri) bertemu dengan golongan muda dalam program Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di bandar Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) diminta membuat perancangan awal untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kepulangan mereka serta semua pengundi di DUN Mahkota amat bermakna kerana mereka merupakan sebahagian daripada 66,318 pemilih berdaftar yang akan menentukan wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

“Saya merayu semua belia serta penuntut IPT agar dapat balik menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih calon nombor satu, iaitu daripada Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah,” katanya menyampaikan pesanan kepada sekumpulan penuntut IPT yang menyertai ‘walkabout’ beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berlian, di sini.

Sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi di DUN Mahkota terdiri pengundi muda berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Pada PRK itu, Syed Hussien yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar atau dikenali sebagai ‘Coach Haizan’.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Sementara itu, Onn berkata, dakwaan bahawa DAP hanya dijadikan alat oleh UMNO untuk menarik sokongan pengundi Cina dalam kempen PRK itu adalah tidak berasas.

“Politik seperti itu tidak sesuai di negeri Johor yang sentiasa menjaga adab, tertib dan keharmonian kaum, jangan terikut-ikut dengan tohmahan serta hasutan. Itu rayuan saya kepada Bangsa Johor terutamanya yang berada di DUN Mahkota,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah, di sini malam kelmarin menyeru kaum Cina di DUN Mahkota menolak DAP yang dikatakan sekadar alat UMNO untuk mendapatkan undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN