JOHOR BAHRU: Pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd. Rashid Yahaya, 91, tetap ceria melayan tetamu walaupun kini uzur dan terbaring di katil.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Larkin, di sini, Mat Sentol masih mampu mengingati filem-filem lakonannya dan beberapa dialog dalam filem tersebut.
Biarpun kelihatan lemah dan uzur kerana faktor usia, pelakon yang terkenal dengan filem Mat Bond itu sentiasa tersenyum apabila berbicara dengan tetamu, terutamanya apabila menyentuh adegan dari filem-filem lamanya.
Selain Mat Bond, Mat Sentol juga terkenal dengan filem-filem komedi seperti Mat Tiga Suku, Mat Magic, Mat Toyol dan Mat Karong Guni.
Beliau kini dijaga oleh dua anaknya, Roslee, 62, dan abangnya, Rosman, 65.
Menurut Roslee, bapanya itu turut mengalami masalah penglihatan pada mata kirinya, manakala kedua-dua belah kakinya yang tidak mampu berjalan lagi.
Untuk bergerak, Mat Sentol kini bergantung dengan kerusi roda dan akan dibawa bersiar-siar menaiki kereta pada setiap petang oleh anaknya itu.
“Bapa suka bersiar-siar pada setiap hari kerana tidak mahu terus berkurung di rumah dan terlantar di katil sahaja,” kata Roslee.
Untuk memastikan bapanya sentiasa sihat, Roslee begitu menjaga pemakanan bapanya dengan hanya memberi makanan berkhasiat serta suplemen dan ubat-ubatan yang ditetapkan.
Pelakon itu turut kelihatan ceria apabila menerima kunjungan daripada bekas penerbit rancangan Forum Perdana Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dzul Hanafiah Ismail dan rombongannya hari.
Sempena kunjungan itu Dzul Hanafiah turut menyampaikan sumbangan kepada pelakon tersebut. – UTUSAN











