Malaysia, Tatarstan bincang kerjasama ekonomi

Malaysia, Tatarstan bincang kerjasama ekonomi

Anwar Ibrahim dan Rustam Minnikhanov mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerjasama dari aspek ekonomi dengan pelabur-pelabur di wilayah itu.-FACEBOOK/ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Republik Tatarstan membincangkan kerjasama dari aspek ekonomi dengan pelabur-pelabur di wilayah itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan Ketua Republik Wilayah Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Vladivostok.

“Pertemuan tersebut tentunya bagi meraikan persahabatan erat antara Malaysia dan Republik Tatarstan selain turut membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama dari segi ekonomi dengan pelabur-pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Dunia Russia-Islam.

“Saya juga mengambil peluang menerangkan hala tuju Malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan polisi yang digariskan di bawah Ekonomi Madani termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Anwar mengharapkan persahabatan akrab itu dapat membawa manfaat yang terbaik buat Malaysia dan Tatarstan.

Anwar ketika ini dalam lawatan kerja dua hari termasuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan di Russia.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Sesi Plenoi pada EEF bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi serta kerjasama antarabangsa di rantau berkenaan.

Anwar juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai platform kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai dan membincangkan hubungan dua hala.

Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional pendidikan dan latihan (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.

Kedua-dua pemimpin akan meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi lanjutan serta bertukar-tukar pandangan mengenai konflik Russia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah.

Anwar dan Putin dijangka membincangkan kerjasama dalam ruang lingkup hubungan Rakan Dialog ASEAN-Russia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN