KUALA LUMPUR: Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan dilantik Presiden Parti Progresif Rakyat (MyPPP) yang baharu selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatan utama parti itu.
Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Inder Singh Beant Singh berkata, pemilihan itu disokong secara sebulat suara oleh perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-71 parti itu.
“Pada AGM kali ini, kita turut mengusulkan antaranya meminda perlembagaan parti, penstrukturan semula jawatan Naib Presiden Kanan yang ditukar nama kepada Timbalan Presiden.
“ini juga termasuk mencadangkan penjenamaan semula logo parti serta akan kembali dikenali sebagai PPP selepas pindaan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya, hari ini.
Terdahulu, beliau dilantik menjadi Pemangku Presiden bagi menggantikan mendiang Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 17 Nov 2023 lalu.
Loga Bala yang juga merupakan naib presiden kanan parti itu memangku jawatan tersebut berdasarkan Perkara 9.10 perlembagaan parti yang menetapkan bahawa naib presiden kanan akan bertindak sebagai presiden sekiranya jawatan itu kosong.
Menurut Inder Singh, bagi kerusi Timbalan Presiden pula kini diisi oleh Datuk Mohan A Kandasamy yang sebelum ini memangku jawatan Naib Presiden Kanan.
MyPPP yang ditubuhkan pada 1953 pada masa ini mempunyai 320,000 keahlian di 119 bahagian dan 3,119 cawangan. _ UTUSAN