Laksanakan larangan guna bahan plastik pakai buang

Laksanakan larangan guna bahan plastik pakai buang

LEBIH 653 tan sisa plastik di Kuala Lumpur memasuki saluran air dan berakhir di laut setiap tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa melaksanakan lara­ngan penggunaan bahan plastik pakai buang seperti cawan, pinggan, garpu, sudu, straw dan pembungkus minuman yang semakin mendapat sambutan di restoran.

Pada masa sama, mikroplastik yang terhasil daripada pro­ses penguraian bahan berasaskan plastik yang mencemarkan perairan negara juga perlu dikategorikan sebagai pencemaran baharu di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Penyelidik Basel Action Network (BAN), Wong Pui Yi berkata, terdapat dua masalah utama membabitkan mikroplastik iaitu bahan tersebut tidak terbiodegradasi atau kompos (toksik fizikal) dan ia juga mengandungi pelbagai bahan kimia (toksik kimia).

KIMIA

Katanya, terdapat penyelidikan dilaksakan yang mendapati bahawa sebanyak 16,000 bahan kimia digunakan untuk membuat semua jenis bahan berasaskan plastik.

“Jika haiwan kecil seperti ikan atau anak burung termakan mikroplastik ia boleh membawa kepada kematian kerana bahan tersebut menyebabkan pola pemakanan hidupan tersebut berubah.

“Pada masa sama, mikroplastik juga didapati menyerap bahan pencemar seperti bahan pencemar organik yang berterusan, logam berat dan antibiotik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berdasarkan hasil kajian United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UN-ESCAP), sebanyak 161,000 tan sisa plastik dijana setiap tahun di Kuala Lumpur sahaja dengan 653 tan daripadanya memasuki laluan air sebagai sampah laut.

Kuantiti sisa plastik paling tinggi dijanakan melalui kediaman banyak keluarga dan diikuti kediaman satu keluarga, runcit, borong, pejabat dan perkhidmatan lain.

Produk khusus yang menjadi sampah laut adalah beg plastik membabitkan 42 peratus, penyajian dan pembungkus makanan (20 peratus), botol (17 peratus), filem plastik (15 pe­ratus), produk sanitari (3 peratus).

BERUNDING

Mengulas lanjut, Pui Yi berkata, di peringkat antarabangsa, banyak negara sedang berunding mengenai satu perjanjian plastik global untuk menangani pencemaran bahan tersebut.

“Perjanjian itu akan menyenaraikan bahan plastik yang perlu dilarang. Jika perjanjian kuat dibentuk, Malaysia harus menandatanganinya dan mengubah undang-undang serta membentuk polisi bagi memenuhi ketetapan perjanjian demi kesihatan sejagat,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengikuti jejak langkah AS yang akan menghentikan perolehan bahan plastik pakai buang atau sekali guna di semua kementerian dan agensi di bahawa Kerajaan Persekutuan.

“Polisi-polisi ini, kalau dilaksanakan dengan betul, akan dapat menjimatkan kos pengurusan sisa pepejal kerajaan tempatan,” katanya.

KELEMAHAN

Sementara itu, Penyelidik Alam Sekitar dari Pusat Me­merangi Rasuah dan Kronisme (C4 Centre), Nabila Zulkeflee berkata, pihaknya sangat sangat mengambil berat terhadap isu pengurusan sampah di Malaysia kerana masih terdapat banyak kelemahan dalam tata kelola pengurusannya sama ada dari sudut pengimportan sisa plastik sehingga pengurusan sisa domestik.

Katanya, kerajaan harus memperkukuhkan penguatkuasaan dalam memantau penghantaran sisa di pelabuhan dan pusat kitar semula plastik bagi mencegah penyeludupan sisa haram, lambakan, pembakaran dan aktiviti haram lain.

“Selain itu, kami menggesa kerajaan untuk menghentikan import sisa plastik secara berperingkat dan memberi tum­puan kepada pengembangan kapasiti dan infrastruktur dalam pengumpulan dan pengasi­ngan sisa domestik,”  katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN