Komuter: KTMB cadang tindakan undang-undang penumpang lelaki ceroboh koc wanita Komuter: KTMB cadang tindakan undang-undang penumpang lelaki ceroboh koc wanita

Komuter: KTMB cadang tindakan undang-undang penumpang lelaki ceroboh koc wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penumpang lelaki yang menceroboh koc khas disediakan untuk wanita di dalam komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang di peringkat perbincangan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengatasi masalah pencerobohan di koc wanita.

“Perbincangan secara berterusan itu masih dijalankan dalam usaha mewujudkan undang-undang, seterusnya tindakan penguatkuasaan selain mengadakan kempen kesedaran,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, KTMB memberitahu, pihaknya menempatkan polis bantuan bagi menjalankan rondaan berkala di dalam tren terutama di koc wanita untuk mengelak berlaku pencerobohan.

Jelasnya, rondaan berkala itu antara lain bagi mengawal keselamatan dan menasihatkan penumpang mengenai keistimewaan koc wanita yang disediakan.

“Kita komited menangani isu pencerobohan koc wanita dengan menempatkan pegawai dan kakitangan polis bantuan yang kerap menjalankan rondaan secara berkala di tren untuk memastikan tidak ada lelaki menceroboh koc wanita.

“Koc wanita ini diperkenalkan KTMB pada 2010 untuk memenuhi keselesaan dan keselamatan penumpang wanita dan ini termasuk di tempat menunggu yang tertera pelekat ‘Wanita Sahaja’.

“Selain usaha pemantauan berterusan oleh KTMB, kami juga menggesa orang ramai membantu mengingatkan antara satu sama lain berkenaan manfaat dan kepentingan koc wanita kepada semua penumpang,” katanya.

Keputusan menempatkan polis bantuan itu dibuat susulan tular hantaran seorang pengguna Facebook, Sheahnee Iman Lee yang menceritakan kisah dihadapi ibunya berusia 72 tahun ketika menggunakan perkhidmatan tersebut baru-baru ini.

Iman Lee berkata, ketika kejadian, ibunya menggunakan perkhidmatan KTM dari Klang menuju Kuala Lumpur.

“Ketika menaiki koc wanita, terdapat sekumpulan remaja berada di situ. Sebagai bekas guru selama 40 tahun, ibu saya menegur mereka tetapi dia diugut dan menerima respons biadap,” katanya.

Susulan itu, KTMB memaklumkan, Unit Khidmat Pelanggan KTMB sudah menghubungi Iman Lee dan menjelaskan koc wanita diperkenalkan untuk menyediakan persekitaran selamat untuk wanita menggunakan perkhidmatan komuter KTM.

“Penumpang turut dinasihati menggunakan butang interkom atau menghubungi polis bantuan KTMB di talian 03-22631194 jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN