ALOR SETAR: Keluarga kepada Syarafi Abu, 34, yang terlepas hukuman mati atas kesalahan membunuh, Nur Syuhada Johari, 19, lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Bapanya, Abu Husin, 64, berkata, mereka sekeluarga ternanti-nantikan saat itu setelah menerima berita berkaitan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman mati Mandatori 2023 pada tahun lepas.
“Terima kasih kerana bebaskan dia dari tali gantung. Perkara sudah berlaku, kami mahu minta maaf tetapi keluarga (Nur Syuhada) tidak mahu terima.
“Insya-Allah masa depan bila mereka sejuk (tenang) sikit, kena minta maaf juga macam mana pun,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Alor Setar selepas Persidangan Mahkamah Persekutuan di sini, semalam.
Mahkamah Persekutuan semalam menukar hukuman mati mandatori dengan penjara 38 tahun dan 14 sebatan setelah membenarkan permohonan Syarafi.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.
Syarafi didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada 12 Mei 2017 atas pertuduhan membunuh Nur Syuhada semasa di dalam sebuah kereta di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Gantang pada 2 Februari 2015.
Sementara itu, kata Abu, anaknya yang sudah menjalani hukuman penjara di Penjara Pokok Sena sembilan tahun turut menyatakan hasrat untuk bertemu keluarga Nur Syuhada bagi memohon maaf di atas kesalahannya itu.
“Dia sudah insaf dan kesal atas perbuatannya. Dia pun kata akan cuba minta maaf tapi rasanya susah sikit sebab dia rasa buat masa ini mereka pun masih marah lagi, nak buat macam mana,” katanya.
Menurut isterinya, Robiah Alwi, 62, pula, keluarganya reda dengan keputusan mahkamah termasuk menetapkan hukuman 14 sebatan ke atas Syarafi. – UTUSAN










