Jumpa wang tunai RM800,000 dalam bilik pegawai imigresen

Jumpa wang tunai RM800,000 dalam bilik pegawai imigresen

AZAM Baki menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket ‘counter setting’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Rabu lallu. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini men­dedahkan sejumlah RM766,693 wang tunai ditemui dalam bagasi dan di bawah katil dalam bilik tidur menerusi serbuan di kediaman pegawai imigresen yang terbabit dalam sindiket ‘counter setting’.

Menurut beliau, selain wang tunai RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita Imigresen Gred KP22 di ke­diamannya di Pahang, SPRM turut me­nemukan wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai Imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka.

Jelasnya, wang tunai yang di­temukan itu merupakan seba­hagian daripada keseluruhan RM1.49 juta yang berjaya disita daripada penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’.

“SPRM turut menyita wang tunai AS$9,900 (RM41,990) dan 5,470 Bath (RM696) menerusi operasi tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pe­jabat SPRM di sini semalam.

Selain wang tunai, Azam ber­kata, SPRM turut menyita sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 daripada pegawai Imigresen Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, sepanjang operasi ber­kenaan, pihaknya juga menyita 22 kenderaan iaitu sembilan kereta dan 13 motosikal, selain lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan su­bang serta 12 jam tangan pelbagai je­nama.

“SPRM turut membekukan 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan modus ope­randi sindiket ‘counter se­tting’ berkenaan adalah dengan mempromosikan pakej untuk masuk ke negara ini menerusi platform media sosial khusus­nya Facebook dan Telegram.

Katanya, terdapat ejen yang akan menghubungi pegawai imigresen terbabit menerusi aplikasi WhatsApp bagi menda­patkan tarikh sesuai bagi membolehkan kumpulan warga asing itu datang ke Malaysia sebagai pelancong.

“Pegawai Imigresen kemudian akan memberikan ‘lampu hijau’ jika tarikh berkenaan se­suai. Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit.

“Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai penahanan 50 penguat kuasa, Azam berkata, 49 dari­pada mereka bertugas di Jabatan Imigresen (JIM), manakala seorang lagi merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Seramai 12 ditahan di Sela­ngor, Kuala Lumpur (6), Pahang (6), Johor (4), Melaka (4), Bahagian Perisikan Imigresen (9) dan seorang sarjan wanita PDRM.

“Turut ditahan 10 ejen sin­diket membabitkan dua orang di Kuala Lumpur dan lapan keldai akaun yang mana seorang ditahan di Pulau Pinang serta tujuh lagi di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu pencemaran di Teluk Gong, Klang, Azam berkata, SPRM memberi jaminan pihaknya akan me­ngambil tindakan sekiranya wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutamanya melibatkan pihak berkuasa berhubung isu kira-kira 40,000 penduduk di Telok Gong, Pe­labuhan Klang yang terpaksa menghidu bau busuk dari puluhan kilang pemprosesan sisa buangan disyaki beroperasi secara haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN