KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai dikelilingi sumber semula jadi seperti tanah yang subur, sungai dan laut yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Siti Faizah Abdul Azis mempunyai visi dan misi jangka panjang untuk menjadikan Sungai Rambai sebagai hab penyelidikan dalam bidang pertanian dan akuakultur di Melaka.

Katanya, bidang berkenaan memiliki potensi besar untuk berkembang merangkumi penanaman sawit, padi dan pembenihan hasil ternakan laut seperti ikan, udang serta ketam.
“Saya telah minta ahli-ahli akademik dan pakar datang untuk mengkaji apakah kelebihan kawasan Sungai Rambai. Kajian mendapati tanah di kawasan ini sangat subur selain keadaan sungai dan laut yang sesuai untuk penternakan akuakultur.
“Baru-baru ini kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-Aquas) Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat geran berjumlah lebih RM1 juta dari
Korea Selatan bagi penghasilan benih ketam di Sebatu melalui pemindahan teknologi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau berpendapat perancangan menaik taraf sosioekonomi penduduk DUN Sungai Rambai perlu berpaksikan kelebihan yang dimiliki di kawasan itu dan tidak terikut-ikut pembangunan di DUN lain.
Menurutnya, setiap sumber yang ada dapat dimanfaatkan dengan cekap sekali gus memberikan hasil yang maksimum kepada rakyat.
“DUN ini kaya dengan hasil muka bumi dan ini dibuktikan melalui kajian saintifik. Jadi lebih baik saya fokus kepada sektor pertanian berbanding meniru apa yang orang lain buat.
“Bukan saya kata industri lain tidak penting tetapi berfokus lebih baik. Banyak lagi peluang dalam sektor pertanian dan eko pelancongan boleh diteroka melalui kerjasama strategik pelbagai pihak,” jelasnya.
Melihat kelebihan anugerah alam yang dimiliki DUN Sungai Rambai, Siti Faizah juga berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai pusat institusi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mengkhusus dalam bidang pertanian pada masa hadapan.
Ketika ditanya mengenai kemudahan infrastruktur untuk rakyat Sungai Rambai, Siti Faizah berkata, pembinaan klinik kesihatan baharu dan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) menjadi keutamaannya ketika ini.
Jelasnya, beliau telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan berharap ia diluluskan secepat mungkin.
———————————————————————————————————————————-
Nama: Siti Faizah Abdul Azis
Tempat Lahir: Sungai Rambai, Melaka
Tarikh lahir: 7 September 1975
Umur: 49 tahun
Jawatan lain:
Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin
Pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Sungai Rambai
Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai
Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Rahman Yaakub
Pengajian tinggi:
Diploma Kesetiausahaan di sebuah institut pengajian tinggi swasta
——————————————————————————————————————————
“Bangunan klinik kesihatan sedia ada sudah lama wujud dan tidak lagi sesuai untuk menampung kepadatan penduduk yang semakin bertambah. PPR pula sangat diperlukan rakyat susulan kenaikan harga rumah di pasaran.
“Saya juga mohon agar Kerajaan Pusat mewujudkan semula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). Ketika ini orang ramai terpaksa pergi jauh sehingga ke bandar Melaka untuk berurusan dengan agensi kerajaan,” ujarnya.
Pada masa sama, kata beliau, beberapa permasalahan yang membelenggu rakyat terutama banjir yang kerap berlaku di kawasan Kampung Datuk Nawar dan Kampung Parit Sidang Seman
Benteng telah diselesaikan dalam tempoh setahun sejak beliau dipilih menjadi ADUN pada November 2021.
Ban di Kampung Tersusun dan Kampung Janda Berhias telah ditinggikan bagi mengelakkan limpahan air sungai selain membesarkan laluan air dan menyelenggara parit dengan kerap.
Dalam perkembangan lain, Siti Faizah memaklumkan DUN Sungai Rambai tidak ketinggalan dalam merangka pelbagai program pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Antaranya adalah penganjuran Karnival D’Bendang yang dihadiri hampir 7,000 pengunjung pada tahun lepas.
“Secara tidak langsung orang ramai terutama pelancong luar dapat melihat sendiri keindahan pemandangan sawah padi dan lain-lain lokasi pelancongan di Sungai Rambai,” katanya.
Sebagai wakil rakyat, beliau mahu berkhidmat sebaik mungkin agar impak pembangunan dapat dinikmati semua penduduk dalam DUN Sungai Rambai tanpa ada yang tercicir. – UTUSAN










